Angin sepoi-sepoi bahasa yang membuat pohon di sekitarnya menari ke kiri dan kanan membawa seorang warga emas, Md. Salleh Shaari, 73, perlahan-lahan menyusuri laluan tebing sungai menuju sebuah pangkalan lama sebelum langkahnya terhenti lima minit kemudian.

Ada gambaran peristiwa yang sedang bermain di fikiran anak jati kawasan itu dan pastinya berkait rapat dengan dirinya bersama kenangan yang pernah dia tempuhi satu masa dahulu sekitar 1970-an.

Ketika disapa, dia tersentak sejenak sebelum bibirnya mengukir senyuman dan terus menyusun bait-bait kata menceritakan pengalaman bersama beberapa lagi penduduk kampung menggunakan perkhidmatan perahu kayu di kawasan tersebut.

Ketika itu, ceritanya, pangkalan tersebut menjadi tempat menunggu para penumpang sebelum ke seberang sungai iaitu Kota Kuala Muda, Kedah yang jaraknya kira-kira 100 meter dan mengambil masa 10 minit untuk ke sana.

Katanya, perkhidmatan yang mengenakan tambang 20 sen itu turut digunakan penumpang lain dari pangkalan Kota Kuala Muda yang mahu ke kampungnya sebelum ke jeti feri menuju Georgetown yang terletak hampir 18 kilometer.

“Saya selalu menggunakan perkhidmatan itu, perahu kayu tersebut dikendalikan seorang lelaki. Saya sering ke Sungai Petani atau Alor Setar untuk menjalankan kerja-kerja harian di sana.

“Masih ingat lagi apabila sampai di sana, kami perlu me­­ngatur langkah men­daki beberapa anak tangga dengan keada­an pangkalan dinding berbentuk melengkuk yang sangat kecil. Agak bahaya dan kerana itu, masing-masing perlu berhati-hati.

“Masa itu, tambang perahu yang mampu memuatkan sehingga lapan orang bagi setiap perjalanan sa­ngat murah tetapi mula dinaikkan kepada 50 sen sekitar 1990-an,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sekitar 1950-an tambang perahu tersebut hanya 10 sen dan mening­kat kepada RM1 selepas dinaik taraf kepada sebuah bot enjin.

Namun perkhidmatannya semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan penduduk sejak 2003.

Perkhidmatan perahu dan bot tersebut terus dilupakan sebaik sahaja pembukaan jambatan sepanjang 400 meter yang dibina berse­belahan kedua-dua pangkalan itu pada 2008 kerana penduduk lebih memilih untuk me­rentasi sungai menggunakan kenderaan sendiri.

Bagaimanapun, Md. Salleh mampu menarik nafas lega apabila pangkalan di Pematang Bendahari yang berada di kampungnya masih kekal meskipun terdapat projek tebatan banjir telah dibangunkan.

“Namun, kita terpaksa akur kerana pangkalan di Kota Kuala Muda yang menyimpan seribu satu kenangan itu sudah tiada pada waktu ini,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Wan Salmi Wan Ahmad, 48, turut menzahirkan ke­rinduannya dengan suasana pada masa itu kerana kedudukan rumah warisan keluarganya yang dibina sejak tahun 1800 tidak jauh dari pangkalan dan menjadi laluan utama penumpang.

“Seronok apabila melihat ramai orang termasuk dari luar kawasan lalu-lalang di hadapan rumah, kita akan mendengar gelak-tawa mereka sementara menunggu ketibaan perahu, suasana tidak pernah sunyi sehinggalah ke lewat petang.

“Walaupun pengalaman itu hanya sebentar tetapi orang dahulu ada menceritakan bahawa suasana di kawasan ini memang meriah kerana perahu merupakan satu-satunya kenderaan penduduk kampung,” ceritanya teruja.