Bantuan berjumlah RM56,000 untuk membina rumah dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air itu disumbangkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas dan pejabat Pembangunan Persekutuan negeri.

Penerima bantuan, Rokizan Hassan, 47, berkata, kebakaran rumah pusaka milik keluarganya itu menyebabkan dia, isteri, empat anak serta ibu saudaranya hilang tempat berteduh.

“Ketika kejadian pada pukul 2. 30 petang, kesemua ahli keluarga saya sedang berehat di ruang tamu dan saya bersyukur kerana mereka semua selamat,” katanya selepas menerima surat tawaran pembinaan rumah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tinggal, Datuk Roslan Saidin, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan negeri, Datuk Syed Shaari Syed Abdullah.

Rokizan berkata, akibat kejadian tersebut, dia sekeluarga yang tinggal di situ bersama ibu saudara, adik ipar serta seorang anak saudaranya terpaksa menumpang di rumah abangnya di kampung sama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pusat Ahli Parlimen Kepala Batas dan Pejabat Pembangunan Persekutuan ser­ta pelbagai pihak yang tampil memberi bantuan sekali gus meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Syed Shaari berkata, pembinaan rumah ber­kenaan dijangka siap dalam tem­poh 12 minggu.

“Sehari selepas kebakaran berlaku, kita melawat mangsa dan menyerahkan bantuan bencana sebanyak RM500.

“Pembinaan rumah Rokizan dapat dipercepatkan kerana dibina di atas tanah pusaka milik keluarganya,” katanya.