Kejadian pukul 8 pagi itu membabitkan penumpang yang menuju ke Subang dan turut tular di laman sosial.

Sementara itu, Pengurus Kanan LTABPP, Mohd. Nadzim Hashim berkata, kejadian tersebut berlaku apabila kawasan parkir pesawat turbo prop dinaiki air setinggi buku lali akibat hujan lebat sebelum memasuki ruang pelepasan.

“Ketika itu seramai 28 penumpang yang menaiki pesawat Malindo Air, OD1181 yang menuju ke Subang dan dijadualkan berlepas pada pukul 9.40 pagi sedang bersedia untuk berlepas.

“Disebabkan tempat pemakiran pesawat pada masa itu penuh, penumpang penerbangan tersebut terpaksa meredah air untuk menaiki pesawat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, tiada penumpang lain terjejas ekoran kejadian itu dan pesawat turbo prop lain yang sepatutnya berlepas melalui pintu tersebut telah dialihkan ke pintu lain.

“Tiada kelewatan besar yang berlaku semasa kejadian dan air surut apabila hujan berhenti,” katanya.

Menurutnya, ketika hujan lebat awal pagi semalam, kesemua saliran dan tangki ‘on site detention’ (OSD) di lapangan terbang itu dilaporkan berfungsi dengan baik.

Ini bukan kali pertama LTAPP dilanda banjir kilat sehingga air memasuki balai pelepasan dan kejadian itu kerap berulang setiap kali hujan lebat. - UTUSAN ONLINE