Penerbangan ihsan dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang membawa Ruby Looi Joo Hua itu berlepas dari Pengkalan Udara Subang kira-kira pukul 7.30 pagi tadi dan tiba di Padang Polo berhadapan HPP di sini, kira-kira pukul 9 pagi ini.

Sejurus tiba dengan helikopter Agusta AW139 itu, Ruby, 47, yang mengalami masalah pendarahan pada saluran jantung dan sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh segera dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP untuk rawatan lanjut.

Penerbangan itu dikendalikan juruterbang Kapten Faridullahamin Mohd. Noh dengan membawa seramai empat orang kru JPBM termasuk tiga paramedik dan suami pesakit, Chan Poh Choong.

Sementara itu, Poh Choong, 54, berkata, dia berterima kasih kepada JPBM kerana dapat melakukan penerbangan ihsan membawa isterinya berkenaan sekali gus dapat menjalani rawatan jantung terbaik di HPP.

Menurut Poh Choong, isterinya perlu menjalani pembedahan segera iaitu buat kali ketiga selepas mengalami pendarahan serius pada saluran jantung.

Bagaimanapun, katanya, tiga hospital di ibu negara yang dirujuk sebelum ini bagi melakukan pembedahan itu tidak dapat menjalankan rawatan tersebut atas beberapa faktor.

“Hanya pakar di HPP yang boleh menjalankan rawatan terhadap isteri saya mungkin kerana isteri saya sebelum ini sudah mendapatkan rawatan di sini.

“Memandangkan isteri saya memerlukan rawatan segera, jadi saya terpaksa memohon bantuan JPBM untuk menerbangkannya ke HPP dan bernasib baik kerana permohonan itu diterima,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE