Pada masa sama, wakil penduduk, R. Meenakshi berkata, gabungan persatuan penduduk memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memihak kepada syarikat pemaju, Sunway City yang diberikan kebenaran oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan Projek Sunway Hills di kawasan itu.

Namun, katanya, penduduk berasa kesal kerana ketika kes itu dibicarakan di mahkamah, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi hujah bertentangan dengan penjelasan Lembaga Rayuan negeri yang membenarkan bantahan penduduk terhadap projek berkenaan.

“Kami menyokong rayuan terhadap keputusan mahkamah kerana projek berkenaan kelak jika dijalankan mempunyai implikasi serius terhadap penduduk dan alam sekitar.

“Ini kerana projek itu terletak di kawasan sensitif iaitu di lereng bukit dan tanah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas kempen meraih sokongan untuk rayuan penduduk Sungai Ara berhubung keputusan mahkamah berkenaan, kelmarin.

Sidang akhbar itu disertai wakil daripada 17 persatuan penduduk antaranya Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Perbadanan Pengurusan Taman Sunrise, Jawatankuasa Pengurusan Solok Kelicap, Perbadanan Pengurusan The Cove, Persatuan Penduduk Taman Sri Rambai, Persatuan Penduduk Taman Sri Nibong dan Persatuan Penduduk Pykett.

Projek berkenaan yang diluluskan Kerajaan DAP Pulau Pinang difahamkan melibatkan pembangunan perumahan di kawasan dengan ketinggian lebih 76.2 meter (250 kaki) dari aras larut dan kecerunannya melebihi 25 darjah.

Menurut laporan, pemaju diberikan kelulusan untuk membina 600 unit terdiri daripada pangsapuri dan banglo di atas tanah seluas 80 ekar (32 hektar) dengan kira-kira 43 peratus daripadanya terletak di kawasan cerun melebihi 25 darjah.

Penduduk melakukan bantahan kerana bimbang de­ngan kemusnahan alam sekitar manakala Sahabat Alam Malaysia (SAM) menegaskan kelulusan berkenaan bertentangan dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang.

Ekoran pertelingkahan berkenaan, penduduk merujuk kes itu kepada Lembaga Rayuan negeri yang mengesahkan bantahan berkenaan, namun ‘dibalas’ pemaju dengan mendakwa MBPP memberi kebenaran kera­na tertakluk di bawah status ‘projek khas’.

Dalam masa sama, Meenakshi berkata, mereka berharap Kerajaan DAP Pulau Pinang dapat menyemak semula definisi ‘projek khas’ bagi mengelak pembangunan di kawasan sensitif seperti di lereng bukit diberikan kebenaran dengan sewenang-wenangnya.