Malah ada di antara mereka yang terpaksa melupakan persiapan hari raya kerana bajet yang ada terpaksa didahulukan untuk membaiki kerosakan seperti bumbung dan dinding.

Bagi Aini Tahir, 41, biarpun selepas dua hari kejadian itu berlaku, dia masih belum membaiki bahagian bumbung rumahnya yang diterbangkan angin ribut ketika penduduk sedang bersiap-siap untuk bersahur pagi semalam.

Menurutnya, selain bumbung yang diterbangkan angin sehingga terkena rumah jiran, beberapa peralatan elektrik se­perti televisyen dan peti ais di rumahnya turut rosak terkena hujan.

“Sekarang memang saya bun­tu nak cari duit untuk baiki bumbung serta struktur rumah yang tercabut akibat ribut pagi semalam. Mungkin terpaksa gunakan bajet untuk hari raya untuk ganti kerosakan dulu.

“Ketika kejadian pagi semalam pun saya dan lapan ahli keluarga lain langsung tidak bersahur ke­rana ribut berlaku pada pukul 4.45 pagi ketika kami sedang bersiap untuk menyediakan hidangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Gebu di sini hari ini.

Perasaan sama dikongsi Azizal Hamid, 60, yang turut kehilangan bumbung rumah dan terpaksa berhimpit-himpit di bahagian da­pur rumahnya yang terselamat dalam kejadian itu.

Jelasnya, kos untuk membaiki bumbung itu mungkin menelan belanja lebih RM1,000 dan perlu disiapkan sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, keluhan penduduk itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang segera menghulurkan bantuan awal kecemasan seba­nyak RM1,000 kepada rumah yang rosak teruk dan RM500 kepada yang rosak sedikit.

Reezal Merican berkata, pi­haknya akan memastikan kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak dijalankan segera dan mereka yang kehilangan rumah akan di­bantu mendapatkan rumah sewa.

“Kalau berdasarkan laporan polis yang diterima, dianggarkan lebih 170 buah rumah terlibat di beberapa kawasan se­perti Taman Penaga, Taman Seri Penaga, Taman Sejahtera, Pasir Gebu, Kampung 20, Permatang Rawa, Bakar Kapur, Permatang Tok Labu, Kota Aur dan Permatang Janggus.

“Saya prihatin dengan nasib mereka yang terjejas dan hari ini saya juga melawat beberapa rumah di Pasir Gebu dan Taman Penaga bagi melihat sendiri ke­rosakan yang dialami oleh penduduk,” ujarnya.