Kira-kira 30 penduduk itu berhimpun sejak pukul 9 pagi dengan membawa beberapa sepanduk yang tertulis ‘Rakyat Pulau Pinang Tak Nak PIL-1’; ‘Development Not Developers’ dan ‘Say No To SRS’.

Selain penduduk khususnya di sekitar Tanjung Bungah yang bakal terjejas dengan rancangan projek itu, bantahan berkenaan turut disertai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution.

Bantahan itu bagi mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menangguh atau membatalkan projek lebuh raya tersebut yang disifatkan bakal memusnahkan alam sekitar dan memberi kesan kepada penduduk setempat.

Pembinaan lebuh raya PIL 1 merupakan sebahagian daripada projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan dilaksanakan di bawah fasa satu.

Lebuh raya dua hala sepanjang 20 kilometer itu dirancang dibina dengan enam lorong dan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bayan Lepas dengan enam persimpangan. - UTUSAN ONLINE