Sambil mengibarkan Jalur Gemilang, mereka berjalan kaki sejauh dua kilometer dari taman itu dan mengelilingi Kampung Masjid Timah sebelum kembali ke taman.

Menurut wakil penduduk Mohamad Adhar Yahaya, aktiviti itu diadakan bagi mengeratkan hubungan antara penduduk serta memanfaatkan cuti umum hari ini.

“Namun objektif utama aktiviti ini adalah menanam semangat cintakan negara serta menghayati erti kemerdekaan di kalangan penduduk terutama kanak-kanak.

“Mereka dilihat amat teruja menyertai aktiviti yang bermula pukul 7.30 pagi dan begitu semangat mendendangkan lagu-lagu patriotik sepanjang berjalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Mohamad Adhar, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang yang turut memberi manfaat kesihatan kepada penduduk.

Jelasnya, kawasan kejiranan itu juga aktif dengan pelbagai program lain seperti majlis berbuka puasa dan kenduri kesyukuran yang dijalankan secara gotong-royong. - UTUSAN ONLINE