Kebanyakan pelajar teruja bertemu 'tetamu' yang tidak dijangka pada hari pertama persekolahan tahun ini, terutama dapat bertemu dan bergambar bersama watak dinosaur, Dexter Velociraptor dan Lucy Spinosaurus, berusia 3 bulan.

Tiga guru yang memakai kostum haiwan turut menyambut pelajar mereka dengan senyuman sambil mengedarkan pad nota yang dibuat oleh murid Tahun Enam. Amarullah Ahmad Irwan, 7, dan Nur Kalisha Sofia Muhammad Afik, 7, kedua-duanya melahirkan perasaan gembira selepas bertemu dinosaur serta maskot, serta sangat teruja untuk memulakan hari pertama persekolahan mereka.

Guru Besar SK Seri Relau Norsilawati Ishak berkata tahun ini program kembali ke sekolah dianjurkan bersama dengan TOP Komtar dan Pusat Penyelidikan Jurassic untuk memperkenalkan Kaedah Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) kepada semua pelajarnya.

Norsilawati berkata beliau mahu pelajar tidak hanya belajar kaedah secara tradisional, tetapi menawarkan kaedah pembelajaran lebih dinamik, interaktif dan praktikal bagi membolehkan pelajar, belajar dengan cara yang lebih menyeronokkan dan bermakna.

"Melalui program PAK-21, kami menggalakkan pelajar belajar di luar bilik darjah dan membolehkan mereka belajar secara praktikal dan interaktif," katanya sambil menambah TOP Komtar juga menjadikan SK Relau sekolah angkat mereka.

PAK-21 adalah transformasi daripada pembelajaran secara tradisional kepada kaedah lebih dinamik dan kreatif yang memerlukan guru menggunakan teknologi terkini sejajar dengan perkembangan dunia digital.

Tahun ini, SK Relau mempunyai 642 murid dan daripada jumlah itu, 112 adalah pelajar baharu Tahun Satu. Turut hadir Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seri Relau, Mustaffa Hashim dan Pegawai TOP Komtar Abdul Rahman Bohari. -- BERNAMA