Malah, menurut Shabudin, Najib sendiri mengakui banyak perubahan berlaku di kawasan Parlimen itu dalam tempoh lima tahun ini dengan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dijalankan.

Katanya, Perdana Menteri juga mengiktiraf Tasek Gelugor sebagai hab pendidikan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pembinaan beberapa istitusi pendidikan di kawasan itu.

“Selepas lima tahun menjadi Ahli Parlimen, saya telah berjaya membina empat masjid de­ngan dua daripadanya telah siap manakala dua lagi sedang dalam proses pembinaan selain 16 dewan terbuka di sekolah-sekolah.

“Kemudahan dewan terbuka yang dibina ini bukan sahaja di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan tetapi juga sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Shabudin, bagi menggalakkan industri agropelancongan di kawasan itu, pihaknya juga berjaya menubuhkan tiga buah koperasi serta membina tiga jeti nelayan darat selain memiliki dua buah bot yang digunakan untuk membawa pelancong menyelusuri sungai.

Jelasnya, industri itu akan me­ningkatkan pendapatan nelayan dan mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada kerjaya sebagai nelayan semata-mata, namun boleh melibatkan diri dalam bidang pelancongan.

Selain itu, tambahnya, dalam tempoh dua tahun lalu juga, seba­nyak 2,000 lampu jalan telah dipasang di beberapa kampung di bawah projek Lampu Jalan Kampung yang memberi kemudahan kepada penduduk pada waktu malam.

“Semalam pula Perdana Menteri telah umumkan kelulusan pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Stesen Keretapi Tanah Me­layu Berhad (KTMB) Tasek Gelugor, pembinaan Masjid Sungai Lokan dan Klinik Kesihatan Teluk Air Tawar.

“Jadi, pengundi di Parlimen Tasek Gelugor harus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui kawasan ini agar segala yang kita rancang dapat dilaksanakan,” ujarnya.