Menurut baginda, sebagai pelajar dan remaja juga seseorang itu perlulah sentiasa kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Ini kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan. 


Dalam Industri Teknologi Komunikasi Dan Maklumat (ICT) pula, mereka yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati kejayaan. Rentetan itu, remaja harus dilatih supaya berani berimaginasi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa juga harus memberikan sokongan padu dan galakan jika anak mereka melontarkan impian, titah baginda. 


Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan program ‘Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang atau (Towards Excellence Self Esteem Development), Anjuran YTSP Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis melalui kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Bagi Tahun 2018’ yang diadakan di Rainbow Paradise Resort, Tanjung Bungah, Pulau Pinang pagi tadi.


Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Azman Ghazali dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Darus.


Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.


Program melibatkan 99 orang pelajar tingkatan empat terpilih yang diadakan di Pulau Pinang sedemikian rupa ini saban tahun sudah memasuki tahun ke-11 bagi pelajar cemerlang dan tahun ke-9 bagi pengawas terpilih.


Tambah baginda lagi, sebagai pelajar di alaf baharu, golongan ini sewajarnya disediakan dengan persekitaran dan budaya ilmu yang baik yakni dapat bersaing seiring dengan peredaran zaman yang bertunjangkan sains dan teknologi serta memiliki kemahiran berfikir aras tinggi. 


“Selaras era pendidikan yang sedang melalui pelbagai transformasi, pelajar perlu diasuh sebagai sumber manusia yang berdaya saing dan berdaya tahan dari peringkat awal lagi,” titah baginda. 


Jelas sekali, titah baginda, pendidikan menjadi wadah terbaik menjana anjakan paradigma setiap individu dan berperanan melahirkan modal insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan serta mempunyai mentaliti kelas pertama dalam tindakan. 


Hasil pendidikan seharusnya, titah baginda, dapat melahirkan modal insan kelas pertama yang mampu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian.


Antara objektif utama program ini adalah bagi mewujudkan jalinan rapat antara raja dan peserta, juga memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada peserta yang dipilih. Ia juga bagi membimbing peserta agar dapat memiliki nilai murni dan jatidiri yang cemerlang.


Sesudah selesai majlis perasmian, para peserta bengkel dibawa ke Escape Adventureplay, Teluk Bahang, sebelum berlepas balik ke Perlis. - UTUSAN ONLINE