Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, menerusi memorandum perjanjian (MoA) bersama PDRM, penuntut USM kini berpeluang menjalankan pelbagai projek penyelidikan melibatkan penggunaan senjata api dan borang soal selidik de­ngan bantuan dan sokongan pi­hak berkuasa berkenaan.

Menurut Asma, jalinan kerjasama ini merupakan salah satu kemudahan untuk para pelajar terutamanya dalam menjalani la­tihan simulasi sebagai persedia­an menghadapi alam pekerjaan setelah bergelar graduan USM.

“Kolaborasi ini juga memberikan banyak peluang sebagai projek tahun akhir kepada pelajar pascasiswazah bagi pengajian peringkat Sarjana dan Kedoktoran,” jelasnya

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoA itu di sini baru-baru ini dengan Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mewakili PDRM.

Menurut Asma, kerjasama itu merupakan komitmen USM dalam menyediakan fasiliti yang selesa untuk para pelajar serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Ini merupakan suntikan baharu dan dorongan semangat kepada seluruh warga USM untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan program komuniti.

“Saya secara peribadi juga mencadangkan kerjasama ini dipanjangkan kepada melatih jururawat-jururawat yang bertugas di Unit Kecemasan Hospital supaya faham dan mahir dalam mengambil spesimen bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Khalid pula menyifatkan kerjasama tersebut selain merupakan ke­sinambungan hubungan sedia terjalin antara kedua-dua institusi itu sejak 2000, bahkan turut membuka lembaran baharu yang menjurus kepada usaha sama strategik pe­ngajian dan penyelidikan dalam bidang sains forensik.

“Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa PDRM telah menandata­ngani MoU pertama dengan USM pada 30 Julai 2003 dan kerjasama ini diperkasakan lagi dengan termeterainya Memorandum MoA dengan USM pada 21 Jun 2008 dengan objektif utamanya adalah untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang Sains Forensik bagi tempoh lima tahun,” katanya.

Melalui MoA itu juga, USM turut menawarkan kemudahan tempat bagi lima pegawai PDRM untuk menyambung pengajian meliputi bidang pengajian Sains Forensik peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dengan pengecualian sepenuhnya yuran pengajian.