Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Kepujian) (Teknologi Persekitaran), Universiti Sains Malaysia (USM) itu, pelajaran dan aktiviti kokurikulum harus berjalan seiring bagi menjadi insan berjaya.

Menurutnya, disiplin yang diamalkan sepanjang mengikuti latihan Palapes membantunya mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran sehingga me­nerima anugerah dekan Pusat Pe­ngajian Teknologi Industri pada semester satu hingga empat.

Pada masa sama minat mendalam dalam bidang ketente­raan membolehkan anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berusaha gigih dalam Palapes sehingga membolehkan dia di­pilih menerima anugerah Pegawai Kadet Terbaik dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Malaysia Ke-37 di sini baru-baru ini.

“Sejak di bangku sekolah saya meminati bidang ketenteraan, aktiviti lasak dan menyertai pasukan kadet di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya sebelum meneruskan minat itu dalam Palapes apabila masuk ke USM.

“Akhirnya pengorbanan saya selama ini berbaloi apabila di­pilih sebagai salah seorang pe­nerima anugerah Pegawai Kadet Terbaik dalam istiadat ini,” katanya yang turut bertanggungjawab sebagai komandan perbarisan.

Seramai 1,788 pegawai kadet dari 18 universiti awam menerima watikah mereka pada istiadat itu yang disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pendapat sama diakui penuntut Ijazah Sarjana Muda Usuludin dan Perbandingan Agama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azharuddin Mohd. Holid yang turut me­nerima anugerah Pegawai Kadet Terbaik.

Jelas anak jati Masai, Johor itu pada awalnya kedua-dua ibu bapanya agak keberatan untuk membenarkannya menyertai Palapes kerana bimbang ia akan mengganggu pelajaran di universiti.

“Tapi saya berjaya buktikan kepada mereka yang saya mampu lakukan yang terbaik serta menjadi terbaik sehingga me­rangkul anugerah ini yang langsung tidak dijangka.

“Anugerah ini adalah hadiah untuk mereka dan membuktikan pengorbanan saya membahagikan masa antara latihan dan pelajaran selama ini ternyata berbaloi,” katanya yang turut menghargai sumbangan jurulatih di UIAM.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pegawai kadet diingatkan tentang empat aspek utama dalam kehidupan iaitu tahap profesionalisme, disiplin, kerohanian dan kewajipan sebagai tentera.

Titah baginda, tahap profesionalisme merupakan sifat terpenting sebagai pegawai tentera yang perlu sentiasa kompeten dan bekerja kuat serta penuh tekad pada sepanjang masa selain memiliki disiplin tinggi, berintegriti dan jujur melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab.

“Aspek kerohanian juga perlu diperkukuhkan bersama gabu­ngan empat elemen iaitu akal, rohani, nafsu dan kalbu serta ungkapan ‘setia kepada negara dan sedia berkorban demi kepentingannya dengan tidak sekali-kali mengenal erti menyerah’ adalah sumpah yang tidak boleh diabaikan.

“Pegawai kadet Palapes juga perlu peka terhadap persekitaran khususnya corak ancaman masa kini dan masa depan serta milikilah ilmu pengetahuan berkaitan ketenteraan yang komprehensif dan menyeluruh bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman,” titah baginda.