Sehubungan itu, titah baginda, mereka perlu bersedia dari sekarang agar dapat menjadi individu berpendidikan tinggi.

“Dengan memiliki pendidikan tinggi, insya-Allah dapat memberi jaminan masa depan yang cerah, membantu keluarga menikmati kehidupan lebih baik, sempurna dan selesa, menjadi modal insan cemerlang serta memartabatkan generasi berpendidikan, celik ilmu,” titah baginda dalam majlis penutup Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra, di sini kelmarin.

Turut berangkat Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akhashah Khalil.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu adalah program tahunan yang telah memasuki tahun kesepuluh untuk pelajar cemerlang dan tahun kelapan bagi pengawas terpilih negeri Perlis yang diharap mampu melahirkan lebih ramai pelajar mempunyai jati diri yang ampuh serta berpendidikan tinggi.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin berharap pelajar sentiasa mengenang budi individu yang banyak membantu mereka dan tidak bersikap lupa diri sebagai tanda bersyukur atas segala pe­ngorbanan orang lain terutama­nya ibu bapa, keluarga dan guru.

Baginda bertitah, sikap me­ngenang budi itu juga dapat memelihara hubungan baik selain menggalakkan keharmonian dalam masyarakat dari semasa ke semasa.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga penaung Yayasan Kebajikan Perlis turut berkenan melancarkan resolusi kempen Buli Bukan Budaya Kami buat julung kalinya di negara ini.

Melalui kempen tersebut, sebanyak 5,000 tandatangan pelajar dari seluruh negeri Perlis diperoleh sebagai komitmen mereka dalam menentang gejala buli dan sete­rusnya akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan. – BERNAMA