Kejayaan itu melayakkan mereka bertanding dalam pusingan akhir pertandingan bersama 24 pasukan lain dari enam zon berbeza yang bakal diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor pada 2 hingga 4 November depan.

Selain maahad tahfiz ber­kenaan, empat lagi sekolah yang akan mewakili Zon Utara ke pe­ringkat akhir itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, Perlis, SMKA Yan, Kedah dan dua wakil Pulau Pinang iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas dan MRSM Balik Pulau.

Hadiah disampaikan Pengurus Besar Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Mohd. Nasir Mohd. Yusoff selaku penganjur utama pertandingan menerusi pembabitan Kelab Taha.

Mohd. Nasir berkata, ini tahun kedua pihaknya menganjurkan Cabaran Inovasi STEM dengan kerjasama UKM dan syarikat Berkat Minda Resources Sdn. Bhd.

“Program STEM merupakan platform bagi generasi muda negara untuk meningkatkan kemahiran proses sains, kemahiran abad ke-21, kemahiran saintifik, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta kemahiran penyelidikan.

“Ia secara tidak langsung memupuk minat pelajar dalam pendidikan berkaitan STEM dan seterusnya meningkatkan literasi tenaga dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Tabung Haji negeri, Ahmad Hapizudin Abas; Pengerusi Pusat STEM UKM, Dr. Mohamad Sattar Rasul; Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmod Mat Ali; Pengarah Tabung Haji Kedah dan Perlis iaitu Nawawi Ishak dan Mohamad Zahir Hussin.

Seramai 100 pelajar tingkatan satu hingga tiga dari 25 sekolah di Zon Utara mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Nasir berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diterima pihak sekolah untuk menyertai pertandingan itu berbanding tahun lepas dan ini menunjukkan bahawa lebih ramai pelajar mula berminat de­ngan bidang sains dan ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran kerja pelajar dalam bidang itu.

Sementara itu, Mohamad Sattar berkata, pihaknya membawa bersama empat modul yang disampaikan 20 penuntut pasca siswazah dalam bidang berkaitan STEM dari UKM di pertandingan berkenaan.

“Menerusi pertandingan ini, kumpulan peserta atau pelajar perlu membangunkan sebuah modul sains berasaskan komuniti pintar dengan mengambil kira empat faktor iaitu pengangkutan, infrastruktur bandar, tenaga dan komunikasi tanpa wayar.

“Selama ini, pelajar kita le­bih banyak didedahkan dengan pembelajaran berbentuk teori atau exam-oriented (berorientasikan peperiksaan) dan saya fikir inilah masa terbaik untuk kita memperbanyakkan pembelajaran berbentuk amali pula,” katanya.