Berusia lebih dari satu abad, pasar tersebut merupakan antara bangunan pertama yang dilengkapi dengan kemudahan eskalator di Pulau Pinang.

Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri atau sebarang perayaan lain, pasar itu tidak pernah lekang daripada kunjungan orang ramai yang ing­in membeli-belah di situ.

Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesuraman dapat dirasai ketika melalui bangunan tersebut berikutan jumlah pusat beli-belah ­mula bertambah seperti cen­dawan tumbuh selepas hujan.

Meskipun menjalani pelbagai proses pengubahsuaian sejak 2013 sebelum dibuka semula awal tahun lalu, pasar yang pernah menjadi tarikan pelancong asing dan tempatan itu masih kekal suram pada kebanyakan masa.

Entah di mana silap­nya, pengubahsuaian ­yang sepatutnya menjadi lebih menarik itu dilihat gagal menambat hati orang ramai yang lalu-lalang untuk singgah di situ.

Hakikat itu diakui oleh seorang peniaga, Sim Chew Kheong, 58, yang mewarisi perniagaan menjual pakaian daripada ibunya di situ sejak beberapa dekad lalu.

Ujar Chew Kheong, kebanyakan pengunjung hanya singgah untuk membeli jeruk di tingkat bawah bangunan itu dan jarang meluangkan masa untuk naik ke tingkat atas yang menempatkan barangan lain seperti pakaian dan kasut.

“Sepatutnya, pasar ini sudah penuh dengan pengunjung ­lebih-lebih lagi setiap kali musim perayaan, namun ke­adaan seperti itu tidak berlaku,” katanya.

Dia memberitahu, kebanyakan pengunjung ke kedainya adalah pelanggan tetap yang sering berurusan dengannya sebelum ini.

Bagi peniaga kasut, Tan Chooi Yan, 55, pula, dia berharap kerajaan negeri yang baharu pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dapat meluangkan masa turun padang untuk melihat sen­diri suasana di pasar itu ketika ini.

“Kalau boleh, kami mahu ke­rajaan negeri membantu mempromosikan semula (ba­zar) Chow­rasta ini seperti dulu,” katanya yang telah berniaga di situ sejak lebih 20 tahun lalu.

Bagi seorang pengunjung, Liakat H. Ali, 55, Pasar Chowrasta tetap menjadi pilihan keluar­ganya untuk membeli barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri hampir setiap tahun meskipun tidak banyak pilihan terdapat di situ ketika ini.

Liakat berkata, anak-anak dan isterinya juga sudah terbiasa membeli-belah di situ sebelum ini dan mereka juga telah dikenali oleh hampir sebahagian besar peniaga di situ.