Lebih menarik, pengusaha Nis­rina Mini Pelamin Budget Penang, Mohd. Nizam Yusoff, 30, dan Amrina Abu Bakar, 28, yang bekerja sebagai jurute­ra di syarikat swasta di negeri ini sebenarnya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang seni reka.

Untuk mengatasi masalah itu, mereka mengikuti perkembangan rekaan terkini yang menjadi kehendak orang ramai selain memperbaikinya supaya bersesuaian dengan konsep pe­lamin bajet kepada pelanggan di sekitar Kulim, Kedah; Parit Buntar, Perak dan di negeri ini sendiri.

Ini membolehkan perniagaan yang beroperasi sejak tiga tahun lalu di rumah mereka di Batu Kawan, Seberang Perai dekat sini, menawarkan pakej bermula dari RM250 hingga RM2,000.

Menurut Mohd. Nizam, dia dan isteri turut menawarkan pakej hiasan meja makan beradab, bilik tidur dan perhiasan dewan serta prop tambahan untuk sesi fotografi tetamu.

“Disebabkan kami bekerja, perbincangan atau perjumpaan dengan pelanggan akan dilakukan selepas pukul 5 petang yang pada waktu itu, kerja-kerja berkaitan perniagaan sampingan ini akan dila­kukan.

“Bagi memastikan perkhidmatan berkualiti, jumlah tempahan perlu mengikut kemampuan dan semuanya akan dimasukkan dalam jadual rancangan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, trend majlis perkahwinan pada masa ini yang mahukan perhiasan tambahan di pelamin dan photobooth membolehkan perniagaan mereka mendapat permintaan tinggi.

Ditanya jumlah kakitangan menguruskan pemasangan perhiasan itu, katanya, dia bersama isteri akan menguruskan semua pemasangan tetapi akan membuka peluang kepada kenalan sekiranya melibatkan majlis besar seperti di dewan.

Menceritakan pengalaman per­niagaan itu, Mohd. Nizam berkata, mereka pada mulanya hanya menawarkan pelamin asas bersaiz kecil serta menghantar pelamin ke lokasi pe­langgan dengan menggunakan kereta.

Tambahnya, cabaran besar yang mematangkan mereka dalam memastikan kelangsu­ngan perniagaan itu ialah pandangan negatif orang ramai yang mengatakan perniagaan dijalankannya hanya boleh meraih keuntungan bermusim.

“Alhamdulillah berkat kesabaran, perniagaan ini terus memberikan rezeki dan kini kami memiliki sebuah van yang memudahkan penghantaran per­alatan perhiasan pelamin ke lokasi-lokasi pilihan pelanggan.

“Minat saya dan isteri dalam bidang seni reka pela­min ini juga semakin bertambah sekali gus membolehkan lebih banyak idea rekaan mengikut pasaran terkini dihasilkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, jelas­nya, mereka kini merancang menubuhkan sebuah butik mini di Simpang Empat dekat sini hujung tahun ini selain me­rancang menambah perkhidmatan solekan dan baju pengantin kepada pelanggan.

Orang ramai yang berminat mendapat­kan perkhidmatan pe­lamin bajet itu boleh menghubungi Mohd. Nizam di talian 018-4724329 atau mendapatkan maklumat lanjut di laman sosial Facebook Qaleesya Nis­rina Zamrina serta Instagram Nisrina Mini Pelamin Budget Pe­nang.