Ooi Zhi Yi
OOI ZHI YI

Nasib penduduk di situ bertambah malang apabila aduan mereka berhubung masalah kenderaan rosak di tempat letak kereta, sistem paip saluran najis dan alatan keselamatan bomba yang tidak berfungsi dipercayai tidak diendahkan wakil rakyat.

Ketua Biro Publisiti Gerakan negeri, Ooi Zhi Yi yang membuat lawatan ke kawasan perumahan itu berkata, masalah dihadapi penduduk di situ sepatutnya dapat diselesaikan sekiranya wakil rakyat dan Ahli Parlimennya se­ring turun padang.

Beliau berkata, pihaknya juga meragui dengan keadaan serba daif di pangsapuri itu sedangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang dikatakan sudah memperuntukkan sejumlah bajet untuk penyelenggaraan infrastruktur yang ada di situ.

“Penambahbaikan saluran najis dikatakan telah disalurkan menerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan sejak 2014 tetapi paip untuk kegunaan 384 rumah di Blok A kawasan perumahan ini masih tidak berfungsi sehingga sekarang.

“Sebaliknya, penduduk hanya menggunakan sistem lama dan paip tersebut masih tidak di­sambungkan dengan baik, jadi ke manakah semua peruntukan itu?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam masa sama, Zhi Yi turut menyelar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang seolah-olah meng­utamakan projek tidak penting seperti mengecat I Love Penang di beberapa blok bangunan berkenaan berbanding aspek keselesaan penduduknya.

Menurut beliau, pihaknya turut me­­nerima aduan ma­salah tempat letak ke­reta di kawasan ter­sebut tidak mencukupi apabila banyak kenderaan rosak di­tinggalkan sekurang-kurangnya sejak lima tahun lalu sekali gus mengancam kesihatan penduduk.

“Bukan itu sahaja, daripada pemantauan dibuat, kita dapati pili bomba dijadikan tempat menyimpan barangan seperti botol minuman, sampah sarap dan hal ini mengundang risiko penduduk sekiranya berlaku kecemasan,” jelasnya yang mahu pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan berkala.