Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesi­hatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, orang ramai perlu memandang serius wabak ber­kenaan dan mengambil langkah pencegahan dengan berkesan.

“Orang ramai perlu me­ngambil langkah penjagaan untuk membasmi nyamuk aedes daripada membiak dan menyebabkan penularan demam denggi.

“Kerajaan negeri dengan bantuan Jabatan Kesihatan negeri sentiasa membuat pemantauan terhadap penularan demam denggi, tetapi usaha ini harus juga disokong komuniti dengan melakukan pembersihan di kawasan rumah sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai juga disaran menggunakan aplikasi telefon bimbit iaitu Predict and Beat Dengue App yang memberi amaran apabila melalui kawasan panas denggi.

“Pengguna juga boleh me­laporkan masalah jika terdapat kes denggi atau kawasan yang mempunyai wabak denggi di kawasan tersebut,” katanya.

Afif ber­kata, aplika­si itu juga berupaya memberi maklumat terkini dan keadaan semasa kes denggi berdasarkan laporan statistik wabak itu di negeri ini.

“Saya ingin menyeru kepada semua penduduk agar memuat turun aplikasi ini dalam usaha untuk membasmi penularan penyakit ini.

“Pemeriksaan berterusan di rumah dan kawasan sekitar masing-ma­sing mesti dilakukan bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.