Arshad Omar
 

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar (gambar) berkata, pendirian nelayan tidak pernah berubah yang mana projek tebus guna laut seluas 1,800 hektar itu akan menutup periuk nasi dan punca rezeki mereka buat selama-lamanya.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa lega dengan ketegasan dan jaminan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang akan menggunakan segala ruang kuasa kementeriannya bagi menolak projek berkenaan.

“Kami golongan nelayan tidak lagi dapat tidur lena sebaik sahaja Kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan hasrat menambak laut kawasan ini.

“Sejarah sudah membuktikan bagaimana nelayan misalnya di Tanjung Tokong kini hampir lenyap akibat projek tambak laut di situ dan pampasan RM15,000 yang diberikan langsung tidak membawa perubahan lebih baik kepada kehidupan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Arshad turut menyifatkan alasan Kerajaan DAP Pulau Pinang menambak laut tersebut bagi mencari dana untuk projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri sebagai tidak logik.

Katanya, kawasan laut yang disifatkan lubuk kepada nelayan kerana kaya dengan ikan dan udang itu tidak wajar diperdagangkan semata-mata untuk memenuhi keperluan pemaju swasta.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Mahadi Md. Rodzi turut mempersoal sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya prihatin dengan nasib nelayan yang bakal terjejas akibat projek tambakan laut tersebut.

Katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga kini tidak pernah berjumpa kumpulan nelayan untuk mendengar keluhan dan suara mereka apatah lagi untuk berbincang tentang pampasan.

“Malah, kita juga sudah banyak kali menghantar surat untuk berjumpa Ketua Menteri, Lim Guan Eng namun tidak pernah dilayan,” katanya.