S. M. Mohamed Idris

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, nelayan di kawasan itu berdepan pelbagai isu antaranya kehadiran bot besar menyauk siput, penggunaan bubu naga, pembuangan ikan keli, pembinaan sangkar ikan, stor penda­ratan ikan baja dan kolam ternakan di perairan tersebut.

Beliau berkata, masalah yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu menyebabkan nelayan terbabit menghadapi kemerosotan hasil tangkapan khususnya udang galah yang merupakan hasil tangkapan utama.

Malah, katanya, tinjauan pi­haknya bersama Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) dan Nelayan Sungai Tanjung Berembang mendapati aktiviti menyauk siput kepah di dalam sungai tersebut dilihat semakin ketara tanpa sebarang kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

“Mereka dilihat dengan rakus menyauk siput sehingga tidak menghiraukan soal keselamatan nelayan sungai yang sedang memancing dan menjala udang galah di kawasan berhampiran.

“Nelayan yang ditemui me­nyatakan individu terbabit seolah-olah menganggap kawasan yang dipenuhi dengan siput tersebut adalah milik persendirian, malah mereka langsung tidak memikirkan kesan buruk dan ancaman terhadap alam sekitar serta ekosistem dasar sungai ekoran aktiviti tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, S. M. Mohamed berkata, pemasangan bubu naga di tebing sungai menyebabkan jala udang galah milik nelayan sering tersangkut pada bubu ber­kenaan.

Mengikut undang-undang dan akta penggunaan alatan tang­kapan, jelas beliau, bubu naga termasuk dalam senarai alat tangkapan yang tidak diluluskan Jabatan Perikanan sekali gus mempersoal bagaimana penggunaannya berlaku secara berleluasa tanpa pemantauan.

“Selain itu, sepanjang tinjauan itu juga kami turut menemukan beberapa buah jentera yang sedang menjalankan aktiviti mengorek tanah untuk dijadikan kolam ternakan.

“Tapak kolam ternakan tersebut pula sebelum ini dipenuhi dengan deretan pokok nipah namun apa yang menyedihkan kawasan tersebut akan menjadi kolam ternakan malah begitu hampir dengan tebing Sungai Kerian,” katanya.