Lebih-lebih lagi apabila makanan yang terkenal di Johor itu dihidangkan bersama hirisan bawang merah dan cili hijau yang menjadi pelengkap hida­ngan kepada penggemar daripada pelbagai peringkat usia.

Ini kerana, hidangan itu memberi pilihan kepada pelanggan sama ada hidangan roti bersama kacang phool yang dibuat sendiri dengan rempah ratus itu boleh dimakan secara pedas atau de­ngan cita rasa asli.

Malah, pengusaha kedai makan tersebut, Nasirah Shariff, 40, turut menampilkan kelainan dengan menawarkan pelbagai pilihan roti sama ada dibakar biasa atau disapu dengan mentega putih buatan sendiri, disalut keju dan juga french toast.

Pelanggan juga berpeluang menikmati hidangan yang paling mendapat sambutan iaitu set roti bakar mentega bawang putih kacang phool daging.

Menceritakan sejarah kedai itu, Nasirah berkata, dia mendapat idea selepas menikmati hidang di sebuah premis semasa berkunjung ke selatan tanah air, Johor Bahru beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, berdasarkan pemerhatiannya, hidangan tersebut masih belum dijual di negeri ini dan memba­yangkan ‘orang Utara’ tidak pernah menikmatinya.

“Jadi, saya yang bercita-cita membuka kedai kek red velvet dan kek krim me­rasakan ini peluang terbaik untuk memulakan perniagaan ke­rana masih belum ada kedai seumpama itu di sini dan pasti mendapat sambutan.

“Perbincangan bersama ibu, Faridah Mohd. Yusoff, 60, dilakukan kerana saya tidak mahu perniagaan itu dilihat biasa-biasa, saya mahukan kelainan sehinggalah kami buat keputusan untuk menggunakan rempah ratus membuat menu kacang phool,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Beritahunya lagi, selepas pelbagai perancangan rapi, dia yang dibantu beberapa ahli keluarga berjaya memulakan perniagaan yang mengetengahkan menu kacang phool itu pada Ogos 2015.

“Saya memulakannya dengan menawarkan khidmat penghantaran ke rumah, pejabat dan kilang selain mengiklankanya di media sosial kerana percaya strategi pemasaran itu dapat meluaskan lagi peluang perniagaan ini.

“Kini, saya bangga kerana perniagaan ini kerana mendapat sambutan malah kami juga pernah menerima pelanggan dari luar negara,” katanya.

Tambahnya, dia juga menyediakan roti bakar telur goyang, roti jala baldu dimakan bersama kuah kari ayam dan capati gulung yang turut boleh dimakan bersama kuah kacang phool.

“Bagi memberi lebih banyak pilihan, kami menawarkan menu makanan Barat yang berasaskan roti, ayam dan eggplant parmesan serta kek red velvet, browned butter dan minuman air bali lemon,” jelasnya yang menjual pada harga bermula RM7 hingga RM11.30.