Katanya, Jahara memang si­no­nim sebagai wakil rakyat di Telok Ayer Tawar kerana telah memegang jawatan itu selama lima penggal berbanding beliau yang turun selaku calon muka baharu.

Bagaimanapun, menurut Zamri, beliau bertuah kerana Jahara yang dianggap sebagai ‘sifu’ banyak membantunya dalam usaha mempertahankan kerusi milik BN ini.

“Malah, dalam beberapa program turun padang sebelum ini, beliau turut berkempen bersama-sama saya dan memperkenalkan saya dengan para pengundi di sini.

“Selain itu, sokongan dan pene­rimaan jentera BN di kawasan ini juga memberi semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras untuk menonjolkan diri dalam kala­ngan pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini, Zamri telah menjelajah ke hampir setiap pelosok DUN Telok Ayer Tawar untuk berjumpa pengundi termasuk pengundi India di pangsapuri Taman Tun Dr. Awang, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zamri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tasek Gelugor memberitahu, sebahagian besar pengundi yang ditemuinya juga sudah dapat menerima calon lelaki daripada BN untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.

“Lagipun, berdasarkan maklumat yang kita terima, memang penduduk di Telok Ayer Tawar ini mahu wakil rakyat daripada golongan lelaki pula,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tidak banyak aduan yang diteri­manya daripada penduduk setempat berhubung isu berbangkit di kawasan tersebut memandangkan sebelum ini kawasan berkenaan mendapat limpahan kemajuan dan pembangunan daripada Kerajaan Pusat.

“Jika ada pun, mereka cuma mahu beberapa kemudahan awam ditambah seperti pejabat pos dan klinik yang lebih besar untuk memudahkan mereka,” katanya.

“Sudah semestnya perkara ini saya akan bawa kepada peringkat negeri dan Pusat dan usaha ini pasti akan lebih mudah dilaksanakan jika BN terus diberi mandat di kawasan ini,” katanya.