Atas faktor berkenaan, mungkin ramai yang berfikir dua kali sebelum memilih untuk melibatkan diri secara serius dalam sukan berkenaan kerana risiko-risiko yang perlu ditanggung.

Namun demikian, ba­gi tiga remaja, semua kesakitan berkenaan langsung tidak menakutkan mereka untuk mengenali sukan tempur itu malahan menyimpan hasrat untuk menjadi petinju Muay Thai profesional serta mewakili negara pada masa hadapan.

Bagi Nor Laila Azira Azid Karin, 16, yang mu­la turun ke gelanggang Muay Thai sejak setahun lalu, dia mengakui berlaku beberapa perubahan positif dalam dirinya terutamanya lebih ber­disiplin serta tidak mudah letih untuk menjalani rutin harian.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn itu berkata, keyakinan dirinya ju­ga meningkat dan pada ma­sa sama boleh memper­tahankan diri ji­ka berdepan situasi kecemasan.

“Pada pukul 6 pagi, saya sudah bangun ke­rana perlu menjalani latihan la­rian sebelum bersiap untuk ke sekolah. Keputusan untuk mendalami Muay Thai memerlukan disiplin yang tinggi kerana tanggungjawab utama sebagai pelajar sekolah tidak boleh diabaikan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Anak sulung daripada enam beradik itu yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera berkata, Kejohanan Muay Thai Amatur Pulau Pinang 2018 yang berlangsung baru-baru ini merupakan pertan­dingan pertamanya dan lebih manis, dia muncul juara bagi kate­gori yang di­sertainya.

“Saya difahamkan kejohanan itu turut menjadi medan pemi­lihan atlet Muay Thai negeri untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Perak pada tahun ini. Oleh itu, saya berharap akan diserapkan ke dalam skuad latihan Muay Thai negeri dan seterusnya terpilih bertanding dalam sukan dwi tahunan itu,” katanya yang turut mengidam untuk menyertai lebih banyak pertandingan Mixed Martial Arts (MMA) selepas ini.

Nor Laila Azira ber­kata, mempelajari Mu­ay Thai juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana teknik tumbukan dan hadangan terhadap lawan merupakan antara perkara sukar untuk dipelajari.

Seorang lagi peninju muda, Mohd. Qowi Akmal Afandi, 15, berkata, minat mendalam terhadap aksi mempertahankan di­ri mendorongnya untuk mempelajari Muay Thai.

Katanya, sejak kecil, dia gemar menonton perlawanan gus­ti serta acara sukan tempur menerusi televisyen dan secara tidak langsung memupuk minatnya.

Pelajar tingkatan tiga SMK Bukit Kuching Tengah, Jeram, Selangor itu berkata, tujuan utama mempelajari Muay Thai bukan kerana hendak ‘tunjuk hebat’ atau membuli rakan sebaya.

“Sejak dua tahun belajar Mu­ay Thai, saya dapat mengisi ma­sa lapang pada hujung ming­gu jika tidak terlibat de­ngan aktiviti perseko­lahan,” katanya.

Mohd. Qowi yang bernaung di bawah Kelab Peninju Harimau Putih itu turut mara ke perlawanan akhir kategori 44 kilogram (kg) Kejohanan Muay Thai Amatur Pulau Pinang namun tewas kepada lawannya.

Menyifatkan kekalahan ber­kenaan sebagai pengalaman ber­harga, remaja berkena­an yang bercita-cita untuk menjadi pegawai polis berkata, segala kelemahan sewaktu terlibat dalam pertandingan itu akan diperbaiki.

“Ini kerana saya akan menyertai sesi pemilihan atlet Muay Thai untuk kontinjen Sukma Putrajaya pada tahun ini, jadi saya perlu me­nyertai beberapa kejohanan sebagai pemanas badan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi gadis, Siti Nurainiah Mohammad Ali, 18, turut menarik perhatian penonton melalui aksi tangkasnya dalam kejohanan berkenaan yang mewarisi minat dalam sukan itu daripada ayah­nya, Mohammad Ali Ibrahim yang merupakan bekas petinju Muay Thai.

Siti Nurainiah yang bera­sal dari Alor Setar, Kedah itu berkata, dia mula terlibat sejak ber­usia 11 tahun dan telah menyertai banyak kejohanan tempatan di sekitar kawasan utara selain turut terlibat de­ngan pertunjukan demonstrasi untuk memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat terutamanya wanita.

Berkongsi pengalaman dalam sukan Muay Thai, pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bidang pendawaian itu berkata, kadang -kala dia perlu menunggu untuk me­nyertai pertandi­ngan kerana tidak ramai peserta remaja yang bertarung untuk kategorinya.

“Macam hari ini, saya masih tunggu, siapa lawan di peringkat seterusnya kerana hanya ada lapan petinju wanita yang mengambil bahagian namun kategorinya berat mereka tidak sama dengan saya,” katanya.