Biarpun tidak sebesar Taman Negara Pahang, kawasan seluas 2,521 hektar di bawah seliaan Penguasa Taman Negara Pulau Pinang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) itu tetap menyimpan mutiara alam Pulau Mutiara yang masih terpulihara sehingga kini.

TNPP boleh dikunjungi tanpa sebarang bayaran melalui dua pintu masuk iaitu sama ada melalui Teluk Bahang atau Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

Pelbagai aktiviti seperti mendaki bukit, merentas hutan, berenang, memancing, berkhemah dan berkelah boleh dilakukan di TNPP yang tersimpan sembilan pantai tercantik dengan kualiti air lautnya antara yang terbaik di negeri ini.

Menurut Penguasa TNPP, Saat Yaakob, istimewanya taman negara di bawah seliaannya itu adalah atas faktor muka bumi dan alam semula jadinya yang unik serta sukar ditemui di tempat lain.

Katanya, kawasan taman negara berkenaan merangkumi lima jenis habitat terdiri daripada Hutan Pamah Dipertekap; Hutan Bukit Dipertokap; Hutan Paya Bakau; pantai-pantai terpelihara dan kewujudan Tasik Meromintik sewaktu musim-musim tertentu.

“Bagi pengunjung yang mempunyai stamina yang baik, mereka boleh menyusuri laluan-lauan pendakian dan merentas kawasan hutan sambil menikmati keindahan flora yang terdapat di sini, bermula dari pintu masuk di se- belah Teluk Bahang.

“Melaui laluan yang disediakan, pengunjung boleh menjelajah ke saluran kawasan taman negara ini sama ada menuju ke Pantai Muka Head, Pantai Kerachut, Pantai Teluk Kampi dan Puncak Bukit Batu Itam.

“Setiap destinasi terdapat keistimewaan tersendiri dan mungkin sesuai untuk mereka yang mahu mendekati alam semula jadi memandangkan terdapat beberapa jenis flora dan fauna di sini yang tidak boleh ditemui di tempat lain,” katanya.

Jelas Saat, kawasan taman negara berkenaan menjadi habitat kepada lebih 1,000 spesies flora dan 271 spesies fauna dengan kawasan hijau dan hutan yang kekal semula jadi.

Katanya, antara spesies flora yang banyak terdapat di taman negara ini adalah pokok kera dan hutan paya bakau yang mampu menggamit pemandangan pengunjung.

“Dalam meninjau keunikan hutan paya bakau di sini, pengunjung boleh berkayak menyusuri laluan air yang berbumbungkan pokok-pokok bakau dan masih boleh ditemui dibeberapa kawasan di dalam taman negara,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, pengunjung juga boleh melihat dan meninjau kawasan rumah api yang terletak di Muka Head dengan jarak perjalanan kira-kira sejam 45 minit meredah hutan dari pintu masuk di Teluk Bahang.

Bagi mereka yang ingin melihat pemandangan sekitar taman negara itu dari puncak bukit ter- tinggi dalam kawasan taman negara, jelas Saat, pengunjung boleh memilih laluan menuju ke puncak Bukit Itam yang memakan masa enam jam berjalan meredah hutan dan mendaki bukit di dalam taman negara terbabit.

Katanya, meskipun jarak perjalanan memakan masa berjam-jam, pengunjung pasti teruja dengan keindahan hutan taman negara ini dan boleh singgah berehat di empat daripada sembilan pantai yang tersimpan di taman negara ini.

“Empat pantai berkenaan adalah Pantai Kerachut; Pantai Teluk Kampi; Pantai Teluk Duyung dan Pantai Tukun. Pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkelah dan bermandi-manda di pantai-pantai ini sambil menikmati keindahan kawasan terbabit,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, sekiranya berkunjung ke Taman Negara antara November hingga Mac atau Mei hingga September, pengunjung mungkin berpeluang melihat keunikan Tasik Meromintik di Pantai Keracut.

Tasik itu, jelasnya, terbentuk apabila air laut memasuki kawasan tasik dan bercampur dengan air dari lima anak sungai di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, percampuran air itu membentuk tiga lapisan air berbeza dan tidak bercampur antara satu sama lain.

Selain itu, katanya, selain keindahan alam semula jadi pengunjung juga berjinak-jinak dengan anak penyu di Pusat Pembiakan dan Konservasi Penyu yang terletak di Pantai Kerachut.

“Malah, sekiranya bernasib baik pengunjung juga berpeluang melihat dua spesies burang he- lang yang semakin jarang ditemui iaitu Helang Siput dan Helang Merah memandangkan terdapar le- bih 70 sarang aktif haiwan terbabit dikesan di beberapa tempat di taman negara ini.

“Pengunjung juga pasti berpeluang bertemu dengan lutung yang banyak terdapat di kawasan dalam taman peliharaan ini,” katanya.

Menyentuh aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung, jelas Saat, perkara itu sememangnya menjadi keutamaan pihak taman negara.

Katanya, pengunjung disarankan mendapatkan perkhidmatan pemandu pelancong sekiranya memilih meredah hutan taman negara khususnya bagi yang datang secara berkumpulan lebih daripada 10 orang.

“Bagi pengunjung yang mungkin membawa keluarga terutamanya kanak-kanak dan tidak mahu menggunkan laluan darat, ada perkhidmatan penyewaan bot dari kedua-dua pintu masuk taman negara ke pantai-pantai yang dibuka kepada pengunjung.

“Bagaimana untuk memasuki taman negara ini semua pengunjung perlu mendaftar di pintu masuk yang mula dibuka pada pukul 8 pagi sehingga 6 petang,” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, pengunjung tidak kira sama ada melalui jalan darat atau jalan laut tidak dibenarkan memasuki taman negara itu selepas pukul 6 petang.

Menurutnya, mereka yang bercadang bermalam di tapak perkhemahan pula perlu memohon terlebih dahulu memandangkan semua tiga tapak terbabit mempunyai had bilangan pengunjung yang dibenarkan.