Penasihat Penang Citizen A­wa­reness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, walau­pun MBPP melalui Jabatan Kejuruteraan mempunyai garis panduan pembangunan lereng bukit 2012, pelbagai projek dibangunkan di negeri ini dilihat mengundang bahaya.

Ini kerana, dakwanya, kajian geoteknikal meliputi keseluruhan aspek pembangunan termasuk faktor tanah yang ingin dimajukan tidak dilaksanakan dengan berkesan sehingga menyebabkan hakisan bukit seper­ti berlaku di Taman Lau Geok Swee, Paya Terubong pada 14 Julai lalu.

“MBPP boleh jadikan Hong Kong sebagai contoh yang mela­kukan kajian geoteknikal secara menyeluruh terhadap semua tempat yang ingin dibangunkan termasuk membina benteng dan laluan air hujan bagi mengelak risiko kepada penduduk di kawasan berhampiran.

“Kita dapati pembangunan di negeri ini termasuk 10 projek di Sungai Ara yang sedang dan akan dilaksanakan tidak ada satu pun yang membuat benteng dan laluan air hujan seolah-olah menunjukkan pemaju dan MBPP tidak menjalankan kajian,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Menurut Yan Lee, pihaknya kerap menerima aduan daripada penduduk yang menyuarakan kebimbangan akibat pemba­ngunan tidak terkawal oleh pi­hak pemaju yang mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan ke­rajaan (NGO) telah menghantar cadangan penambahbaikan kepada MBPP melalui emel dua minggu lalu tetapi belum me­nerima maklum balas sehingga kini.

“Pelan pembangunan MBPP sudah tidak boleh diguna pakai sebab itu mereka tidak boleh mengabaikan kebimbangan pen­duduk dan saranan kami jangan terus meluluskan projek lain,” katanya.