Penyelaras Gerakan Kebun Bunga, Ooi Zhi Yi berkata, akibat kelemahan berkenaan, masalah kesesakan di negeri ini semakin serius sehingga menjejaskan kua­liti kehidupan rakyat dan pelancong serta memberi kesan terhadap ekonomi.

Sehubungan itu, jelas beliau, jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pelbagai langkah dirancang untuk mengatasi masalah trafik dalam tempoh tiga tahun.

“Ini merupakan komitmen BN untuk atasi masalah trafik selepas kita lihat perancangan kerajaan negeri untuk membina terowong dasar laut bukan kaedah terbaik bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, isu kesesakan trafik di negeri ini sering dibangkitkan pelbagai pihak selain Kerajaan DAP Pulau Pinang dipersoalkan kerana tidak mempunyai rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah berke­naan.

Mengulas lanjut, Zhi Yi berkata, antara perkara yang akan diberi penekanan oleh BN ialah meningkatkan kecekapan pe­ngangkutan awam selain mengemaskini sistem tempat letak kereta yang dilaksanakan.

“Satu program kesedaran akan dilaksanakan bagi mempromosikan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, BN juga akan membina tempat letak kereta bertingkat di kawasan yang dikenal pasti berdepan ma­salah kesesakan yang kritikal.