Sejak kecil juga, anak sulung daripada empat beradik itu dikatakan amat menggemari jentera bomba dan bunyi siren daripada kenderaan tersebut.

Kegembiraan Nor Faris Haikal bagaimanapun bagaikan terhenti seketika apabila dia didiagnosis dengan penyakit tumor otak sejak September tahun lepas.

Pun begitu, kehadiran sebuah badan kebajikan iaitu Make-A-Wish Malaysia yang berpangkalan di Kuala Lumpur menyalakan semula cita-cita Nor Faris Haikal untuk menjadi anggota bomba.

“Dia sangat minat dengan bomba dan semasa diberikan satu set pakaian bomba bersama beg galas beberapa hari lalu untuk menyertai program ini (kendalian Make-A-Wish Malaysia), dia membawa beg dan pakaian tersebut hampir ke mana sahaja.

“Walaupun Haikal (nama panggilan Nor Faris Haikal) tidak dapat menyatakan rasa gembiranya disebabkan penyakit yang dialaminya ketika ini, saya percaya, anak saya sangat gembira ketika ini,” kata bapanya, Norhisyam Ridzuan ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Moktar dan Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan.

Dalam program itu, Nor Faris Haikal diraikan sepenuhnya apabila dijemput dengan menaiki jentera bomba sebelum ketibaannya dialu-alukan semua kakitangan bomba yang bertugas di balai bomba berkenaan.

Sementara itu, Irene berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat menunaikan impian seorang kanak-kanak yang begitu teruja untuk menjadi seorang anggota bomba.