Itu tindakan yang dikesan dilakukan sebuah restoran makanan India di Little India, Georgetown di sini.

Akibatnya, restoran berkenaan disiasat kerana menyalahgunakan tanda logo halal selain cubaan mengelirukan pelanggan khususnya dalam kalangan umat Islam.

Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri; Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pagi ini.

Dalam operasi yang diketuai Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar itu, sebuah restoran yang mempunyai ritual agama Hindu turut disiasat kerana menyalahgunakan sijil penyembelihan halal.

Menurut Mohd. Ridzuan, operasi pagi ini melibatkan sebanyak empat buah restoran di sekitar Little India yang menjadi tumpuan ramai khususnya pelancong termasuk orang Islam.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiga daripada restoran itu menyalahgunakan logo dan sijil halal bagi menunjukkan menu di premis mereka boleh dimakan pelanggan Islam.

“Selain itu, salah sebuah restoran turut dikesan melakukan representasi yang boleh memperdaya atau mengelirukan iaitu dengan menggantung ayat-ayat suci al-Quran.

“Perbuatan itu melanggar Perintah 4, Perintah Perihal Dagangan (takrif Halal) 2011,” katanya.

Menurut Mohd. Ridzuan, bagi kesalahan takrif halal, syarikat yang disabit melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak lebih RM5 juta untuk kesalahan pertama.

Katanya, bagi individu pula, kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Dalam pada itu, tambah beliau, operasi ke atas restoran-restoran di sekitar negeri ini dimulakan pihaknya sejak kelmarin dengan lebih 45 buah diperiksa setakat ini.

“Sepanjang tempoh itu juga, kita telah mengeluarkan hampir 10 kompaun terhadap restoran-restoran tersebut atas pelbagai kesalahan berkait dengan pematuhan lesen,” katanya. – UTUSAN ONLINE