Majlis pengagihan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran Jenama Kumpulan dan Komunikasi Sunway Berhad, Bernard Paul Netto berkata, bubur lambuk itu dihasilkan dengan kerjasama kira-kira 40 sukarelawan dari beberapa anak syarikat mereka termasuk Sunway Property Penang, Sunway Hotel Seberang Jaya, Sunway Hotel Georgetown dan Sunway Carnival Mall.

Ujarnya, keunikan bubur lambuk tersebut ialah, ia menggunakan resepi khas iaitu resepi yang dikatakan pernah memenangi Pertandingan Memasak Bubur Lambuk Kuala Lumpur kira-kira empat tahun lalu.

Difahamkan, selain Masjid Kapitan Keling, bubur lambuk itu turut diagihkan di empat lagi lokasi iaitu di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway; Surau Rabiul Awal, Sentul; Surau Al-Majib, Cheras dan Masjid Seberang Jaya di sini sejak semalam. - UTUSAN ONLINE