Wanita berusia 48 tahun itu sekadar membantu ibu mentua­nya menggoreng kuih loyang apabila sesekali pulang ke kampung.

Bagaimanapun segalanya ber­ubah lebih enam tahun lalu apabila suaminya, Abdullah Saidin mening­gal dunia sekali gus menyebabkan Zuraida dan tiga anaknya kehi­langan tempat bergantung.

Keadaan menjadi semakin sukar apabila dia terpaksa menggalas tanggungjawab menyara persekolahan mereka dan terfikir untuk mencari kerja tetap.

“Selepas suami saya mening­gal, ibu mentua memberi ca­dangan supaya saya belajar membuat kuih loyang daripadanya dan menjual kepada jiran-jiran sebagai punca pendapatan.

“Sejak itu saya mula terlibat dalam perniagaan ini dan menjadi punca rezeki kami sekeluarga,’ katanya kepada Utusan Malaysia di bengkelnya di Pokok Sena, di sini baru-baru ini.

Kata Zuraidah, hasil jualan kali pertamanya mendapat reaksi positif apabila pelanggan memberitahu kuih loyang buatannya sedap dan boleh diketengahkan malahan mereka mula membuat tempahan tambahan.

Katanya, dia pada mula sekadar menggoreng kuih itu di dapur rumahnya namun lama-kelamaan terpaksa mengubah tempat memasak di halaman rumah kerana pertambahan kuali yang digunakan disebabkan permintaan tempahan yang semakin mening­kat.

Menurutnya, selepas setahun, dia menyewa pula sebuah premis bagi melancarkan proses menyediakan kuih loyang.

“Dua tahun kemudian, saya mendapat tawaran daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan untuk beroperasi di bangunan mereka di sini dan sejak itu saya mula mengorak langkah pembu­atan kuih secara lebih tersusun dan berskala besar,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang terpaksa ditempuhi sepanjang menceburi diri dalam bidang perniagaan, Zuraida berkata, ada ketikanya dia tidak mampu menyiapkan tempahan pelanggan kerana kekangan tenaga kerja.

Disebabkan itu, katanya, dia bersama anak-anak mencipta rekaan mesin membuat kuih loyang dan menghantar kepada sebuah kedai besi di sini untuk menghasilkannya.

Bagaimanapun, jelas Zuraida, usahanya ketika itu sedikit berdepan cabaran selepas loyang ditempah tidak dapat digunakan kerana tukang berkenaan tersilap ketika proses membuat mesin.

Namun, dia akhirnya bersyu­kur selepas Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) kemudian menawarkan bantuan dengan menambah baik mesin berkenaan.

“Sejak menggunakan mesin baharu, operasi menjadi lebih cepat. Kini saya turut dibantu dua anak serta dua kakitangan dan kami tidak menang tangan menyiapkan tempahan dari negeri ini, Kedah, Johor selain turut dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya.

Ketika ini, menerusi jenama Kuih Loyang Klassik, Zuraidah menghasilkan lebih 5,000 bungkusan setiap bulan dengan dua perisa utama iaitu manis dan pedas.

Sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, Zuraida menerima permintaan tambahan daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk dihantar kepada pelanggan masing-ma­sing.