Program konvoi tiga hari dua malam itu disertai kakitangan dan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) bermula di kampus induk di sini ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam sebelum ke Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.

Selepas bermalam di Kelantan, konvoi itu bergerak ke USM Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal sebelum kembali semula ke kampus induk di sini.

Sepanjang konvoi itu, peserta melawat Rumah Anak Yatim Abu Nur, Pengkalan Hulu yang juga rumah angkat Pusat Islam USM dan turut menghulurkan sumbangan.

Selain itu, peserta konvoi ber­kenaan juga ke Kampus Kesihatan bagi menjayakan program amal antaranya menziarahi pesakit golongan orang kurang upaya (OKU) dan a snaf di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Dalam kunjungan itu, mereka turut menyampaikan sumbangan amal kit Maidaturrahman kepada pesakit terpilih.

Pelepasan konvoi itu disempurnakan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail di dataran Masjid Al-Malik Khalid, USM di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Asma ketika berucap melepaskan konvoi berkenaan berkata, beliau berharap program tersebut mencapai objektif yang diharapkan selain melakar sejarah bagi USM dalam menyatukan semua warga dan semua kampus USM me­lalui program amal dan sumba­ngan untuk membela golo­ngan memerlukan.

“Pastinya kejayaan yang besar kepada universiti tidak akan tercapai dalam sekelip mata tanpa adanya pasukan yang hebat.

“Konvoi amal ini menjadi contoh bagaimana USM bekerja bersama-sama untuk menghubungkan kesemua kampus selain menjalinkan hubungan dalam kalangan penuntut, kakitangan dan semua warga kampus,” katanya.