Lebih menarik, hidangan yang hanya dikhususkan pada malam ke-27 dalam bulan Ramadan itu disediakan dalam talam untuk dimakan secara berjemaah.

Difahamkan, bukan sedikit, bahkan ribuan jemaah termasuk pengunjung yang singgah ke masjid itu berpeluang merasai sendiri keenakan hidangan berkenaan.

Ketua Biro Warisan dan Pemuda MJKK, Mohamad Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, acara makan beramai-ramai itu diadakan ketika moreh atau sejurus jemaah masjid tersebut selesai menunaikan solat sunat tarawih.

Katanya, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak masjid menyediakan lebih 500 talam untuk dinikmati oleh kira-kira 2,000 orang yang hadir.

“Setiap talam pula akan dinikmati oleh empat orang dan tetamu ini (termasuk pengunjung luar) kebiasaannya terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

“Selain merapatkan ukhuwah sesama kita, tradisi ini diteruskan bagi mengekalkan sunah Rasulul­lah SAW,” katanya semalam.

Pada tahun ini, antara hidang­an menarik yang disediakan termasuk nasi minyak berlaukkan kari ayam dan daging.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Zaleha Saad, 49, memberitahu, dia sanggup datang dari Kuala Muda, Kedah untuk menghadiri majlis berkenaan bersama anak-anaknya.

Katanya, ini kali ketiga dia menyertai majlis tersebut manakala anak-anaknya pula menghadirinya buat kali pertama.

“Memang seronok dan sedap makan macam ni (beramai-ramai) sebab dapat eratkan hubungan biarpun saling tidak mengenali pada satu dulang,” katanya.

Pandangannya itu turut dipersetujui oleh salah seorang anak­nya, Nurul Syamira Mohd. Yusof, 17, yang teruja kerana berpeluang mengenali rakan baharu ketika menikmati hidangan tersebut.

Pengerusi Kariah MJKK, Datuk Meera Mydin Mastan dalam pada itu memberitahu, tiada mana-mana masjid lain di negeri ini yang mengadakan majlis seumpa­ma itu hampir setiap tahun.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada seluruh ja­watankuasa masjid yang dibantu oleh Liga Muslim Pulau Pinang kerana berjaya menghimpunkan lebih 2,000 orang jemaah setiap kali majlis diadakan.

“Kita inginkan segala rezeki yang diperoleh dikongsi bersama-sama dalam satu talam dan insya-Allah program ini akan diteruskan setiap tahun,” katanya.