Bagaimanapun, jika anda berkunjung ke sebuah warung laksa di Jalan Kuala Baru, Balik Pulau di sini, jangan terkejut kerana pelanggan terpaksa melakukan segalanya sendiri seolah-olah seperti makan di rumah.

Mengisi laksa ke dalam mang­kuk, memotong sayur-sayuran seperti timun, bawang dan cili padi serta menceduk kuah merupakan kelainan yang ditawarkan oleh Ishak Ibrahim, 78, kepada pelanggannya.

Gerai laksa berkenaan yang telah dibuka hampir 20 tahun di situ bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang, biasanya dipenuhi dengan pengunjung yang mahu menikmati keenakan laksa ber­kenaan yang sinonim dengan penduduk setempat.

Dikenali juga sebagai Laksa Pokok Asam kerana dahulunya warung berkenaan terletak di tepi sungai yang mempunyai pokok Asam di tebingnya, laksa berkenaan turut berjaya memikat pelanggan luar khususnya dari Kuala Lumpur dan Singapura.

Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Aq berkata, pada hari biasa, dia mampu menjual sehingga 20 kilogram laksa dan jumlah itu bertambah sekali ganda ketika hujung minggu.

“Alhamdulillah, perniagaan saya mampu bertahan sehingga sekarang malahan tidak menang tangan pada hujung minggu dan musim cuti perayaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ishak berkata, laman sosial Facebook turut memberi tempias kepada warung laksanya kerana pelanggan akan berkongsi gambar seterusnya tersebar sehingga ada pengunjung sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasai pengalaman makan laksa di warungnya.

Selain digemari orang Melayu, laksanya turut popular dalam kalangan masyarakat Cina kerana keenakan rasa kuah laksa berkenaan yang mempunyai gabungan rasa kuah laksa asam dan laksa utara.

“Saya akui bersikap cerewet tentang rasa kuah laksa dan akan sentiasa memastikan ikan yang digunakan segar supaya rasanya tidak berubah. Proses memasak pula bermula awal pagi di rumah sebelum di bawa ke sini,” katanya.

Menurutnya, resipi berkenaan merupakan warisan keluarganya yang telah diperturunkan oleh ayahnya yang mula berniaga sejak 1950-an.

Malah, dia masih ingat ayahnya semasa mula berniaga hanya menjual laksa pada harga 10 sen se­mangkuk sebelum dinaikan kepada 20 sen; 30 sen; 50 sen; RM1 dan sekarang RM1.50.

“Sebolehnya saya mahu kekalkan harga yang rendah supaya semua orang dapat menikmatinya.

“Ada yang bertanya, sama ada saya mampu mendapat keuntungan kerana menjual dengan harga yang murah. Jawapan saya ialah jika rugi sudah pasti saya tidak akan mampu bertahan di sini lebih 20 tahun,” katanya.

Menurut Pak Aq, dengan pendapatan hasil jualan laksa, dia mampu menyara tujuh anak, membesarkan rumah serta menikmati kehidupan selesa dan berjaya membuka sebuah lagi warung laksa sejak lima tahun lalu.

Ditanya mengenai idea supaya pelanggan memotong sendiri sa­yur-sayuran dan menceduk kuah ke dalam hidangan masing-masing, Pak Aq berkata, dia mahu memberi keselesaan kepada mereka.

“Setiap pelanggan mempunyai cita rasa berbeza kerana ada yang tidak makan sayur seperti timun atau bawang. Jadi di sini, mereka bebas memilih mengikut selera masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai cabarannya mengusaha warung berkenaan, Pak Aq berkata, selagi kudrat mengizinkan, dia akan terus mempertahan perniagaan berkenaan.

Malah dia mengakui bukan mudah untuk sampai ke tahap seperti hari ini kerana dia pernah menjaja laksa menggunakan basikal roda tiga di pekan Balik Pulau sebelum mendapat tapak di lokasi sekarang.

“Harapan saya supaya pelancong yang berkunjung ke negeri ini akan singgah di Balik Pulau untuk makan laksa saya bagi menjadikan percutian mereka lebih bermakna,” katanya.