Inisiatif itu diambil bagi me­ngurangkan rasa takut dalam kala­ngan kanak-kanak ketika mendapatkan rawatan gigi sekali gus memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapatkan perkhidmatan kesihatan pergigian.

Usaha itu juga adalah hasil kerjasama pintar bersama rakan strategik USM, Hospital Meichen Stomatological dari China yang membolehkan dua kerusi pergigian khas yang dihasilkan khusus untuk keperluan rawatan kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) itu ditempatkan di USM.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Adam Husein, selain menerima dua buah kerusi pergigian kanak-kanak itu, Klinik Pakar Pergigian Hospital USM juga menyediakan 29 kerusi pergigian untuk pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, tambahnya, seba­nyak 12 kerusi pergigian untuk rawatan pakar-pakar pergigian meliputi pelbagai bidang kepakaran juga diterima menerusi kerjasama tersebut.

“Antara khidmat yang ditawarkan ialah pembedahan oral maksilofasial, pergigian kanak-kanak dan keperluan khas, kesihatan awam pergigian serta rawatan pergigian umum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Klinik Pakar Pergigian itu yang disempurnakan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan disaksikan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim.

Dalam pada itu, Dr. Adam berkata, perkhidmatan Pergigian Hospital USM juga berhasrat menjadi pusat rujukan terkemuka di negeri dan juga peringkat antarabangsa dengan menawarkan rawatan-rawatan khas berkaitan pergigian.

Antaranya, kata beliau, adalah perkhidmatan pembedahan ortognatik, maksilofasial prostodontik dan banyak lagi di sam­ping rawatan-rawatan kepakaran umum yang bakal memberi manfaat kepada lebih ramai golongan kanak-kanak dan OKU.