Bagaimanapun, seorang anak muda dari Simpang Ampat di sini berani mencuba nasib untuk memperkenalkan makanan berasaskan ikan dan tepung ubi itu dengan jenama Keropok Lekor Penang sejak tiga tahun lalu.

MUHAMAD AIZAT MUHAMAD SALLEH
MUHAMAD AIZAT MUHAMAD SALLEH 

Percubaan Muhamad Aizat Muhamad Salleh, 30, itu ternyata berhasil apabila keropok lekor jenama tersebut yang dibuat berdasarkan resipi daripada bapa saudaranya yang juga seorang pengusaha keropok lekor di Permatang Pauh di sini semakin dikenali ramai.

Muhamad Aizat yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Automotif dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) berkata, segalanya bermula apabila dia sering membantu menjual keropok lekor di kedai bapa saudaranya itu ketika masih bergelar pelajar.

“Saya semakin minat dengan perniagaan ini apabila melihat sendiri pasaran keropok lekor ini boleh dikembangkan apabila ia menjadi makanan kegemaran semua kaum.

“Selepas tamat belajar saya beranikan diri memulakan perniagaan membuat keropok lekor di sebuah bengkel kecil di Tasek Junjung dan lama kelamaan produk ini semakin dikenali ramai sehingga saya berjaya membuka sebuah pusat operasi yang lebih selesa di Bandar Tasek Mutiara,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, Keropok Lekor Penang mempunyai enam jenis keropok lekor iaitu jenis jejari, bebola, losong, nipis, dadu dan batang yang dijual secara borong dan runcit malah turut dijual keropok kering serta sate ikan.

Dengan kekuatan sembilan pekerja, Muhamad Aizat berharap dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin hari semakin bertambah.

“Setakat ini produk Keropok Lekor Penang ini berjaya menembusi pasaran Kedah, Perak, Kuala Lumpur serta Selangor dan saya sasarkan tahun depan produk ini memasuki pasaran China.

“Pembeli dari China telah bersetuju untuk memasarkan produk ini ke negara berkenaan cuma saya masih perlu selesaikan beberapa perkara sebelum meneroka pasaran China,” katanya. – UTUSAN ONLINE