S. M. Mohamed Idris

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, pesalah berkenaan perlu diarah melakukan kerja-kerja seperti membersihkan tempat awam termasuk menyapu jalan dan mencuci tandas awam bagi tempoh masa tidak melebihi seminggu.

Selain itu, katanya, kumpulan berkenaan juga perlu diarah memakai jaket (vest) bagi memaklumkan kepada orang awam sebagai pesalah yang menjalani hukuman bagi kesalahan lalu lintas.

“Hukuman dalam bentuk kerja komuniti telah berjaya dilaksanakan di Singapura melalui dasar Corrective Work Order (CWO) yang meninggalkan kesan yang baik dalam mencegah kutu sampah dan mengurangkan perbuatan membuang sampah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, gesaan itu dibuat memandangkan langkah menge­luarkan saman kepada pesalah lalu lintas ketika ini tidak memberi kesan apabila kes kemalangan maut terus meningkat.

Pada masa sama, beliau menyifatkan pihak berkuasa gagal menjalankan undang-undang sedia ada untuk menghukum pesalah yang memandu secara cuai dengan hukuman yang berat seperti dipenjarakan.

Sedangkan, katanya, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan jelas menyebut sesiapa yang memandu secara tidak berhemah pada kelajuan tinggi atau secara berbahaya kepada keselamatan awam boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

“Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan supaya mengenakan peruntukan ini ke atas pesalah jalan raya yang berpotensi menyebabkan kematian termasuk memecut laju, mengekori dengan dekat dan memotong secara berbahaya,” katanya.