Selain menjejaskan kira-kira 100,000 penduduk negeri ini, banyak pihak juga terjejas teruk dengan ada yang mengalami ke­rugian teruk antaranya go­longan pengusaha sangkar ikan di per­airan Pulau Aman di sini.

Rata-rata daripada mereka mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit apabila kelong yang dipasang di perairan tersebut musnah akibat dipukul ribut kuat dalam kejadian Ahad lalu itu.

Antaranya, seorang pengusaha yang dikenali sebagai Lan, berkata, ribut yang melanda pada pukul 2 pagi itu menyebabkan hampir 90 peratus daripada kelongnya yang berkeluasan 30 meter persegi itu musnah.

Katanya, pondok yang didirikan di tengah-tengah laut berdekatan kelongnya juga roboh manakala sangkar ikan turut musnah.

“Saya melabur kira-kira RM145,000 bagi membina kelong ini dan pengusaha lain mungkin jumlah mereka lebih besar kerana ada yang me­labur lebih RM1 juta.

“Malangnya, kesemua kelong kami musnah dilanda ribut itu dan kami kini mengalami kerugian besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan tinjauan, terdapat hampir 30 tempat penternakan ikan yang beroperasi di perairan berkenaan dengan hampir ke­semuanya musnah dipukul ribut dan dibadai ombak besar.

Kesan ribut berkenaan juga menyebabkan ratusan ribu ikan bawal, jenahak dan kerisi yang di­ternak di situ terlepas ke laut bebas.

Malah, tinjauan juga mendapati terdapat pondok yang didirikan di tengah laut turut ditolak ombak deras sehingga ke kawasan pantai yang terletak kira-kira lima kilo­meter dari lokasi asal.

Menurut Lan, dia masih bernasib baik kerana boleh membaiki beberapa tapak kelongnya yang rosak namun mengakui terdapat kelong ikannya yang ‘hilang’ selepas dipukul ribut.

Sehubungan itu, dia berharap pelbagai pihak termasuk Kerajaan DAP Pulau Pinang dapat menghulurkan bantuan bersesuaian tidak meminggirkan kumpulan pengusaha kelong berkenaan yang turut menjadi mangsa bencana banjir dan ribut.

Sementara itu, pekerja di pusat penternakan ikan milik Pertubuhan Peladang negeri, Yahya Ibrahim, 42, berkata, kejadian ber­kenaan merupakan yang terburuk sejak dia bertugas di situ lebih 15 tahun lalu.

Katanya, ketika kawasan ber­kenaan dilanda tsunami pada 2004, kerosakan yang dialami di kawasan kelong-kelong ber­kenaan tidak begitu serius.

Sementara itu, penjaga kelong warga Nepal dikenali sebagai Ravi berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas sebelum di­kejutkan dengan angin kuat dan hujan lebat.

“Angin sangat kuat dan air laut naik sehingga ke paras pinggang di atas pelantar ini, saya tidak mampu berbuat apa-apa dan ha­nya berpaut pada tiang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Per­ikanan Negeri, Noraisyah Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang membuat tafsiran jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh pengusaha bagi membolehkan bentuk bantuan diperincikan.

Ujar beliau, pihaknya menyedari kepayahan yang dialami para pengusaha kelong di kawasan tersebut dan bersedia menghulurkan bantuan di peringkat jabatan itu bagi membolehkan pengusaha berkenaan meneruskan semula aktiviti mereka.