Presidennya, Mohd. Hilme Ibrahim berkata, beliau mengambil inisiatif menubuhkan kelab berkenaan pada 2011 sebagai tempat anak muda di sekitar Batu Kawan, Juru dan Bukit Mertajam mendalami sukan berkenaan.

Mohd. Hilmie berkata, minat mendalam terhadap sukan tempur juga menyebabkan beliau tidak berkira untuk membuat pelaburan yang dianggap berbaloi kerana berjaya mencungkil bakat terpendam anak muda.

“Kelab ini juga tidak mengenakan yuran penyertaan kerana tidak mahu membebankan mereka yang berminat untuk menceburi diri secara aktif,” katanya.

Lebih menarik, menurut Mohd. Hilme, pihaknya sebelum ini pernah ‘mengimport’ beberapa pe­tinju Muay Thai dari Perancis dan Thailand untuk mewakili kelab dalam pertandingan tempatan.

“Tujuan utama ialah untuk memberi inspirasi kepada ahli dan pada masa sama mereka dapat menimba pengalaman daripada petinju-petinju antarabangsa ini,” kata­nya.

Sementara itu, Setia­usaha kelab berkenaan, Abdul Basri Mohd. Boh­khari berkata, ketika ini seramai 18 remaja terma­suk yang masih bersekolah menjadi ahli kelab itu yang mempunyai empat orang jurulatih yang memantau sesi latihan pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 selama dua jam di Kampung Siam, Bukit Tengah.

Mengulas lanjut, Abdul Basri berkata, aktiviti kelab berkenaan tidak tertumpu kepada sesi la­tihan Muay Thai semata-mata sebaliknya turut terlibat dengan aktiviti ke­masyarakatan seperti ketika bencana banjir melanda negeri ini baru-baru ini, ahli kelab turut mengadakan majlis bacaan Yasin serta doa selamat untuk mangsa.

Dalam pada itu, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSN) berharap dapat mencari 18 petinju untuk diserapkan dalam skuad latihan Muay Thai bagi membawa cabaran negeri itu dalam Sukma Perak tahun ini.

Pegawai Pembangunan Sukan negeri, Mohamad Hafizi Mazain berkata, kesemua calon petinju itu diperlukan untuk bertanding dalam sembilan kategori yang dipertandingkan.

Ujarnya, ketika Sukma 2011 dan 2013, pasukan nege­ri berkenaan berjaya meraih pingat gangsa dan berharap pencapaian lebih baik pada tahun ini namun sedar bakal berdepan tugas besar untuk meraih emas kerana kita tidak tahu kekuatan pasukan lawan memandangkan acara Muay Thai hanya dipertandingkan semula selepas lima tahun.