Hilmi Yahaya

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, keadaan air banjir yang berwarna keruh seperti teh tarik dalam kejadian banjir Jumaat lalu me­nguatkan lagi andaian berkenaan.

Sehubungan itu tegas beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak boleh berterusan memberi alasan kononnya hujan lebat luar biasa sebagai punca utama kejadian banjir.

“Ketika saya menjadi Exco ke­rajaan negeri dahulu, hujan lebat kerap berlaku dan ada kawasan seperti Jalan P. Ramlee kerap dilanda banjir, namun kami (Kerajaan Barisan Nasional) memilih untuk menyelesaikannya.

“Antara pendekatan yang diambil termasuk mengalihkan air Sungai Dondang yang turun dari bukit ke Persiaran Gurney,” katanya.

Beliau mengulas kejadian banjir be­sar yang melan­da negeri ini Jumaat lalu yang me­nenggelamkan lebih 100 kawasan dan menyebabkan ribuan kende­raan terperangkap selain hampir 600 mangsa terpaksa dipindahkan.

Mengulas lanjut, Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, kerajaan negeri ha­rus mengambil pendekatan le­bih proaktif bagi menyelesaikan masalah banjir termasuk tidak membenarkan aktiviti pemba­ngunan di kawasan bukit.

“Kerajaan BN dahulu sangat tegas apabila terdapat permohonan pembangunan di ka­wasan tanah tinggi, malah tidak akan membenarkan projek dilaksanakan di kawasan berke­tinggian lebih 250 kaki (78 meter), namun kerajaan ne­geri pada hari ini membenarkannya,” katanya.

Menurutnya, dasar itu menyebabkan kawasan yang sebelum ini bebas banjir mula dilanda masalah itu yang menyebabkan kerugian kepada penduduk.

“Dahulu kawasan Balik Pulau tidak pernah dilanda banjir, namun keadaan berubah ketika ini.

“Hal ini kerana kawasan bukit di situ digondolkan dan pokok-pokok ditebang, jadi saya gesa kerajaan negeri berhenti memberi kelulusan projek di kawasan berisiko,” katanya.