Tanpa menghiraukan kotor selut di kawasan sawah padi yang baharu dituai itu, mereka bersaing untuk menangkap itik-itik yang dilepaskan oleh pe­nganjur.

Pemenang dikira beradsarkan siapa yang paling cepat membawa itik ke hadapan pengadil dan itik yang ditangkap akan menjadi milik mereka.

Sebanyak 15 ekor itik menjadi rebutan pada acara kemuncak karnival itu yang menghimpunkan hampir 200 penduduk kampung yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa lelaki dan wanita.

Selain menangkap itik, kanak-kanak juga dilihat paling teruja menyertai acara menangkap ikan keli selain acara bola baling, bola jaring dan tarik tali.

Seorang peserta, Marzuki Zainon berkata, dia amat teruja menyertai sukan itu kerana dapat mengembalikan nostalgia aktiviti golongan tua apabila se­tiap kali tiba musim menuai.

Menurutnya, biarpun dia sendiri bekerja sebagai pesawah dan sudah biasa dengan lumpur bendang namun acara-acara yang diadakan pada karnival itu menggamit memo­rinya.

“Kalau nak kira saya sudah biasa ke sawah tapi apabila dapat bersama-sama menyertai acara bola baling dan menangkap itik, saya rasa teruja kerana dapat bersama-sama penduduk kampung.

“Kali ini pun saya amat ber­puas hati apabila berjaya menangkap tiga ekor itik sekaligus,” katanya.

Karnival yang julung kali diadakan oleh K1M itu berjaya mencapai hasrat untuk meng­eratkan hubungan antara penduduk kampung selain acara sukaneka yang sering diadakan setiap tahun.

Perkara itu diakui Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang mengakui ramai dalam kalangan generasi muda masa kini tidak mengetahui atau pernah merasai kemeriahan aktiviti sukan di sawah padi.

Malah katanya, acara sukan bendang itu patut dikomersialkan dan diambil perhatian oleh pihak berwajib untuk menarik tumpuan pelancong asing ter­utamanya.

“Saya lihat sambutan yang diterima pada hari ini amat memuaskan terutama daripada go­longan muda yang dilihat amat sukakan aktiviti riadah di sam­ping mengeratkan hubung­an.

“Kami akan teruskan acara ini pada masa akan datang dan Insya-Allah akan dijalankan dalam skala yang lebih besar dan melibatkan lebih banyak cara,” ujar­nya.

Pada masa sama, Mohd. Zaidi berkata, aktiviti seperti sukan bendang itu juga adalah penyampai mesej kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang agar tidak terlalu rakus membangunkan tanah-tanah pertanian terutama kawasan tanaman padi.

Jelasnya, saban hari semakin banyak kawasan pertanian di­teroka untuk projek pemba­ngunan termasuk di kawasan Tanjung Putus dan Seberang Perai Te­ngah yang terkenal dengan sawah padi.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang harus kekalkan tanah pertanian yang ada bukan sahaja untuk kelangsungan hidup petani te­tapi juga untuk generasi akan datang.

“Malah di sawah padi se­perti inilah lahirnya aktiviti yang mampu merapatkan hubung­an antara kaum apabila selesai musim menuai,” katanya.