Jurucakapnya, Maznah Tayib berkata, berdasarkan data, kanak-kanak di negeri ini dan Kedah semakin terancam kepada penyakit berkenaan terutama melibatkan kanser darah.

Lebih membimbangkan, kata Maznah, ketika ini terdapat 250 kanak-kanak yang didiagnosis kanser di empat negeri berkenaan yang berada di bawah pemantauan pihaknya.

“Sebanyak 60 peratus disahkan menghidap kanser darah manakala selebihnya kanser tulang, kanser otak, kanser kelenjar dan kanser saraf,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Kelab Permotoran Satu Hati (Satu Hati Bikers), di sini baru-baru ini.

Sempena majlis berkenaan, lebih 30 ahli kelab berkenaan meraikan 25 kanak-kanak yang disahkan menghidap kanser selain turut memberi sumbangan duit raya.

Ditanya mengenai punca peningkatan jumlah kanak-kanak menghidap kanser, Maznah berkata, faktor pemakanan dan terdedah kepada persekitaran tercemar terutama toksik merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) jaringan darah pesakit.

“Ada yang mula dikesan seawal usia enam bulan dan bulan ini sahaja, terdapat 15 kes baharu di kesan dan mereka memerlukan bantuan masyarakat,” katanya.

Maznah berkata, walaupun pada waktu tertentu, jumlah pesakit menurun kerana ada yang meninggal dunia, namun masyarakat perlu didedahkan dengan kesedaran membantu pesakit.

“Kehidupan di wad bagi kanak-kanak ini tidak mudah apatah lagi majoriti berasal daripada keluarga sederhana dan susah.

“Sebelum mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Kanser Nasional (Makna), lazimnya kami membantu menghulurkan sumbangan kepada keluarga pesakit menerusi dana yang disumbangkan orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi persatuan berkenaan di talian 019-42553840 atau secara terus menerusi akaun Maybank bernombor 557102120607 atau Bank Islam (07016010071431).

Sementara itu, Presiden Kelab Permotoran Satu Hati (Satu Hati Bikers), Anuar Abu Kassim berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat menggembirakan kanak-kanak terlibat dan pada masa sama menyeru masyarakat menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga mangsa.