Mohd. Elias Mat Zain, 52, berkata, keadaan berjerebu itu menyebabkan jarak penglihatan berkurangan sekali gus menjejaskan aktiviti penangkapan ikan.

Katanya, sebelum ini dia mampu meraih pendapatan mencecah RM200 sehari namun kini berkurangan kepada RM80 hingga RM150.

“Walaupun saya nelayan pesisir pantai, namun jerebu yang teruk pada awal pagi menyebabkan hasil tangkapan berkurangan. Saya berharap masalah ini akan selesai tidak lama lagi kerana hanya ini mata pencarian kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM300 yang disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Raja Khalid Raja Ariffin.

Dalam majlis berkenaan, seramai 880 nelayan menerima bantuan dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM264,000.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Nasir Abu Bakar, 55, berkata, hasil tangkapan ikan kembung, ikan bawal dan udang turut berkurangan sejak jerebu melanda kawasan ini lima hari lalu.

Katanya, dia juga tidak berani menangkap ikan di kawasan lebih jauh kerana pandangan terhad.

“Sebelum ini saya mampu meraih sehingga RM300 sehari namun kini berkurangan kepada RM100,” katanya.

Sementara itu, Raja Khalid berkata, pihaknya turut menerima rungutan nelayan berhubung hasil tangkapan yang terjejas sejak berlakunya jerebu.

Antara yang disuarakan termasuk tidak dapat mengenal pasti kawasan yang biasa mereka menangkap ikan.

“Oleh itu, kita menasihkan nelayan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri ketika jerebu.

“Ini termasuklah membawa jaket keselamatan dan sauh ketika keluar menangkap ikan dan sentiasa berhubung dengan LKIM,” katanya.