Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, dalam keadaan cuaca panas melampau yang dialami kawasan Semenanjung pada masa ini aktiviti pembakaran secara terbuka perlu dielakkan.

“Sekarang ini ada titik panas dikesan di kawasan Riau dan Jambi di Indonesia, jika angin bertiup ke arah kita (Malaysia), kita yang akan import asapnya.

“Jika pembakaran terbuka berlaku secara tidak terkawal, titik panas di dalam negara banyak bercampur pula dengan titik panas di Sumatera keadaan jerebu teruk seperti yang terjadi pada 1997 dan 2015 boleh berlaku kembali,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di sini hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan pada Februari tahun ini pihak bomba merekodkan sebanyak 3,054 kes kebakaran terbuka dan jumlah tersebut meningkat hampir sekali ganda berbanding bulan Januari iaitu 1,936.

“Kita terima banyak panggilan kecemasan melibatkan kebakaran hutan dan berlaku peningkatan mendadak dalam kes kebakaran terbuka pada Februari tahun ini.

“Situasi ini dijangka berterusan sehingga April tahun ini dan anggota JBPM telah diarahkan untuk bersiap sedia dengan semua pusat operasi digerakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan pembakaran jerami padi khususnya di Kedah dan Perlis dihentikan pada musim panas ini.

“Kita sarankan agar petani menghentikan pembakaran jerami pada masa ini, musim panas kali ini berbeza pada tahun sebelumnya kerana suhu panas yang dialami agak tinggi.

“Pembakaran jerami hanya boleh dilakukan jika dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan dilakukan dibawah pemantauan,” katanya. - UTUSAN ONLINE