Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Bahang, Johari Mohamad berkata, keadaan itu disebabkan ramai nelayan tidak dapat ke laut seperti biasa.

Menurutnya, rata-rata nelayan terlibat memilih tidak turun ke laut berikutan jerebu teruk sehingga mengehadkan jarak penglihatan, sekali gus menyebabkan mereka berhadapan risiko kejadian tidak diingini.

“Kebanyakan nelayan pantai yang juga merupakan ahli persatuan mendakwa pendapatan mereka terjejas teruk sejak jerebu kerana mereka tidak dapat turun ke laut.

“Pendapatan kami terjejas sehingga lebih 20 peratus apabila hanya mampu meraih RM300 hingga RM400 sahaja seminggu dan ini memberi tekanan untuk menguruskan kehidupan harian dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan kawasan Teluk Bahang yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Shah Hussein Shah di sini semalam.

Tambah beliau, sebelum ini nelayan pantai di kawasan Teluk Bahang mampu meraih pendapatan hampir RM800 seminggu.

Sementara itu, seorang nelayan dari Pantai Acheh, Tan Siang Huat, 51, berkata, keadaan jerebu yang teruk beberapa hari lalu menyebabkan beliau tidak turun ke laut kerana tidak berani berhadapan sebarang risiko.

“Saya risau sekiranya turun ke laut berbagai-bagai insiden boleh berlaku di sebabkan jarak penglihatan yang terhad,” katanya.

Bagi seorang nelayan dari Pengkalan Paramount, Pesiaran Gurney di sini, V. Thiagarajan, 55, pula memberitahu, pendapatan hariannya terjejas sehingga melebihi 50 peratus biarpun tetap turun ke laut dalam keadaan jerebu.

“Saya harap keadaan ini akan selesai segera bagi membolehkan kami mencari rezeki,” katanya.