Terdahulu, lebih 500 orang terdiri daripada pelbagai kaum hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu termasuk menziarahi keluarga Allahyarham di rumahnya di No. 2, Rose Avenue, Georgetown di sini sejak malam tadi.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beberapa pemimpin kerajaan negeri seperti Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman turut hadir bersama-sama pemimpin pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Yussof Latiff.

Dalam pada itu, Anwar mengakui terkesan dan sedih dengan kehilangan S. M. Mohamed Idris yang disifatkan seperti ‘bapa’ kepadanya memandangkan keluarganya turut mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Allahyarham.

Mengenang Allahyarham sebagai seorang tokoh aktivis masyarakat yang tegas dan tidak berganjak dengan pendiriannya, tambah Anwar, S. M. Mohamed bukan hanya dihormati dalam kalangan umat Islam, malah turut disanjungi bukan Islam.

“Meskipun perwatakannya lebih Islamik, namun beliau boleh bekerjasama dengan baik dan sentiasa menghormati semua pihak termasuk bukan Islam sekali gus menjadikan beliau seorang pemimpin untuk semua kaum.

“Beliau juga telah melalui sejarah perjuangan yang panjang dan berliku khususnya dalam mempertahankan hak masyarakat di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu menghadiri pengkebumian Allahyarham di sini pagi ini.

Tambah Anwar, beliau juga masih ingat terpaksa mengalah dengan Allahyarham melibatkan beberapa isu sewaktu beliau dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

Malah, katanya, Allahyarham juga akan menghubunginya secara terus sekiranya terdapat isu-isu yang tidak memihak kepada pengguna dan secara tegas serta tanpa rasa takut menyatakan pendiriannya atau CAP mengenai isu terbabit.

Sementara itu, Yussof pula berkata, beliau kehilangan seorang sahabat akrab yang sudah dikenalinya lebih 50 tahun yang sama-sama aktif berjuang menerusi platform NGO.

S. M. Mohamed meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang semalam akibat sakit tua ketika sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Gleneagles, Georgetown di sini.

Allahyarham meninggalkan empat anak, tujuh cucu dan tiga cicit. - UTUSAN ONLINE