Bayi perempuan tersebut yang dibalut kain batik dan dipercayai baru sahaja dilahirkan dijumpai kira-kira pukul 1.15 petang oleh seorang kanak-kanak lelaki yang kemudiannya memaklumkan kepada jemaah masjid.

Seorang jemaah masjid berkenaan, Ahmad Abdullah,59, berkata, dia terkejut apabila mendapati seorang bayi perempuan yang cukup sifat sedang tidur di dalam kotak berkenaan.

“Ketika semua jemaah sedang bersiap-sedia untuk menunaikan solat, seorang kanak-kanak datang memaklumkan kepada kami ada bayi yang diletakkan di dalam kotak di kaki lima masjid.

“Saya dan jemaah lain terus memeriksa kotak berkenaan dan mendapati seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan diletakkan di situ,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdullah, tali pusat bayi berkenaan juga dipercayai dipotong sendiri sebelum bayi berkenaan diletakkan di situ.

“Kami terus melaporkan kepada pihak polis tentang penemuan bayi ini dan kejadian ini adalah kes pertama berlaku di kariah kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor mengesahkan kejadian berkenaan dan bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Kepala Batas di sini untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE