Ini kerana rata-rata penduduk khususnya di kawasan Jelutong bimbang sekiranya tanah bekas tapak pelupusan sampah itu dibangunkan dengan sebuah lagi projek komersial.

Menurut seorang penduduk, Abdul Razak Muhseen, 52, penduduk memuji usaha kerajaan negeri menyelamatkan semula kawasan itu daripada terus dijadikan tapak pelupusan sampah yang selama ini menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk.

Namun, dalam masa sama, katanya, penduduk juga bimbang sekiranya tapak tanah itu dibangunkan dengan sebuah lagi projek komersial.

“Di kawasan Jelutong sudah terlalu padat dengan projek pembangunan baharu terutama pangsapuri mewah.

“Kita bimbang jika tapak pelupusan sampah itu pun dibangunkan dengan projek komersial, penduduk di kawasan ini terpaksa hidup dalam keadaan sesak selain berdepan masalah saliran dan banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Dominic Lee, 42, berkata, dia berharap bekas tapak pelupusan sampah tersebut dapat diselamatkan dan dibangunkan sebagai sebuah taman.

Katanya, pembinaan projek komersial sama ada pangsapuri ataupun rumah kedai akan menghilangkan sepenuhnya saki baki kawasan hijau yang masih ada di tapak bekas pelupusan sampah itu.

Malah, katanya, dia juga bimbang pembinaan projek komersial akan menghilangkan laluan joging bersebelahan bekas tapak pelupusan sampah itu yang sering digunakannya untuk beriadah.

“Kawasan ini merupakan antara laluan penduduk setempat untuk beriadah seperti berjoging dan berbasikal. Oleh sebab itu, adalah lebih baik jika tapak ini dibangunkan sebagai taman rekreasi,” katanya.