Zainal Abidin Osman

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan UM­NO negeri, Datuk Seri Zai­nal Abidin Osman berkata, jabatan itu perlu meneliti secara mendalam terlebih dahulu hasil kajian impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.

Apatah lagi, kata beliau, dapatan awal EIA yang dijalankan perunding dilantik menunjukkan akan berlakunya kesan kemusnahan ketara terhadap hidupan laut di kawasan yang bakal ditambak di sekitar Permatang Damar Laut.

“Tanpa kajian itu sekali pun kita dapat menjangkakan kemusnahan hidupan laut memandangkan projek tambak laut itu membabitkan kawasan perairan cukup luas.

“Maka, risikonya kepada kehidupan la­ut menjadi semakin tinggi dan perkara ini sepatutnya turut menjadi pertimbangan JAS dan agensi berkaitan se­belum meluluskan projek tambak laut berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas me­ngenai pendedahan awal perunding yang menjalankan kajian EIA bagi kerja-kerja tambak laut di Permatang Damar Laut berhubung risiko kemusnahan hidupan laut daripada projek tersebut.

Projek menambak laut seluas lebih 1,800 hektar itu bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri bernilai RM46 bilion.

Dalam pada itu, Zainal Abidin melahirkan rasa simpati terhadap nasib nelayan khususnya di Permatang Damar Laut yang bakal terjejas teruk ekoran rancangan tambak laut berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan UMNO akan membantu golongan tersebut khususnya untuk berurusan dengan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan dan masa depan mereka diberi keutamaan.

“Sebenarnya bukan hanya nelayan di Permatang Damar Laut sahaja terjejas sebaliknya seluruh nelayan negeri ini memandangkan kawasan yang ingin ditambak itu merupakan satu-satunya lubuk yang ada untuk mereka menangkap ikan.

“Memusnahkan kawasan itu yang kaya dengan ikan, udang dan ketam bermakna menutup pintu rezeki dan periuk nasi nelayan dan perkara ini seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan nege­ri,” katanya.