Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pengisian sambutan itu juga sa­ngat berbeza berbanding ketika tahun-tahun awal negara mencapai kemerdekaan yang mana semangat rakyat ketika itu berkobar-kobar untuk meraikan pembebasan negara daripada penjajah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sambutan Hari Kebangsaan diisi dengan program-program yang memberi penekanan kepada usaha-usaha pejuang negara terdahulu dalam menuntut kemerdekaan negara.

“Jika kita lihat kembali, bagaimana susahnya perjua­ngan pasukan beruniform kita seperti askar, polis dan bomba dalam berjuang mendapatkan kemerdekaan.

“Begitu juga dengan para pe­mimpin pelbagai kaum ketika itu, malah golongan wanita turut sama berjuang sehingga ke tahap mengangkat senjata terutama ketika era penjajahan komunis,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Mohd. Yussof, generasi muda hari ini melihat seolah-olah usaha mencapai kemerdekaan itu sesuatu yang mudah dan memadai hanya diraikan de­ngan pelbagai acara hiburan.

Sehubungan itu, tambah­nya, Pemenang mengambil inisiatif menganjurkan Sam­butan Ulang Tahun Ke­merdekaan Ke-61 pe­­ringkat persatuan ber­kenaan pada malam 30 Ogos ini.

Tambahnya, dalam majlis itu yang akan bermula pada pukul 6.30 petang di bangunan Pemenang di sini, beliau akan berkongsi pengalamannya sebagai antara individu yang melalui dan melihat sendiri proses kemerdekaan tanah air.

“Saya juga akan menyentuh mengenai jasa-jasa tokoh kemerdekaan negara dalam kala­ngan anak jati negeri ini yang disifatkan tokoh tidak didendang seperti Mohd. Noor Ahmad dan Ahmad Badawi,” katanya.